JDT benam BG Pathum

Iklan
Arif Aiman (kiri) meledak dua gol dalam perlawanan menentang BG Pathum. - Foto FB JST

JOHOR Darul Ta'zim (JDT) berjaya menundukkan kelab dari Thailand, BG Pathum United 4-2 dalam aksi Kumpulan I saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Pathum Thani, Bangkok pada Selasa.

Skuad kendalian Esteban Solari itu menampilkan permainan berkualiti untuk memadam luka tewas 0-1 kepada Kawasaki Frontale dari Jepun dalam aksi pertama baru-baru ini.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, tuan rumah terlebih dahulu berada di hadapan apabila dihadiahkan sepakan penalti selepas Shane Lowry menarik penyerang BG Pathum, Danilo pada minit ketiga.

Victor Cardozo yang ditugaskan mengambil sepakan penalti menewaskan Ahmad Syihan Hazmi untuk gol pertama pasukan itu.

Iklan

Gol tersebut hanya bertahan beberapa saat apabila Arif Aiman Hanapi memanfaatkan kealpaan pertahanan lawan untuk menjaringkan gol penyamaan.

Arif Aiman hampir menambah jaringan pada minit ke-29 apabila bijak melakukan larian di belakang pertahanan lawan, namun gagal meletakkan bola ke dalam gawang selepas percubaannya ditampan oleh penjaga gol BG Pathum, Chatchai Bootprom.

Iklan

Separuh masa kedua, giliran Juan Muniz mencetak nama selaku penjaring pada minit ke-54 apabila menyambar bola percubaan Bergson yang sebelum itu ditampan oleh Chatchai.

BG Pathum tidak mengalah dan berjaya merapatkan kedudukan sekali lagi menerusi gol oleh Cardozo seminit selepas gol Muniz itu.

Arif Aiman melengkapkan kemenangan bergaya JDT apabila menggunakan kepantasannya melarikan bola dari sebelah kanan sebelum merembat deras menyaksikan Chatchai tertewas buat kali keempat.