SHAH ALAM - Pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai sudah bijak menilai politik persepsi yang dibawa oleh parti pembangkang.
Ketua Pemuda UMNO Pahang, Mohd Kamil Ibrahim berkata, berdasarkan pemerhatian yang dibuat sepanjang kempen pilihan raya kecil (PRK) di DUN berkenaan rata-rata pengundi tidak akan melayan kempen ceramah sedemikian.
Menurutnya, penceramah pembangkang lebih gemar menabur fitnah dan memburukkan pentadbiran Kerajaan Perpaduan.
"Saya dapati orang luar datang dari Kedah, Terengganu, mereka ni datang tak cerita soal pembangunan ekonomi dan sosial, asyik-asyik cerita persepsi nak burukkan pentadbiran Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis Wacana Sinar Harian Siri-415 ‘Apa Khabar Pelangai?' yang dihoskan oleh Ismail Adnan yang disiarkan secara langsung di semua platform media sosial Sinar Harian pada Selasa.
Antara panel yang turut hadir, Timbalan Pengarah Pilihan Raya Armada Bersatu, Wan Meor Safwat Naqiuddin Shamsudin dan Penganalisis Politik, Mujibu Abdul Muis.
Jelasnya, kempen serta ceramah pembangkang juga tidak bercerita soal untuk mentadbir negeri.
"Kita dapat lihat peningkatan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), tiada sebab orang Pelangai tidak mengundi Barisan Nasional (BN) sebab kesinambungan kerajaan negeri dan DUN itu penting,” katanya.
Mohd Kamil berkata, orang Pelangai kena fikir kalau mereka terputus hubungan dengan kerajaan negeri ada banyak faktor akan menyusahkan dari segi ekonomi dan kebajikan ini yang paling penting.
"Kena fikir juga kerajaan negeri ini dah terbaik nombor tiga KDNKnya 10.8 peratus di belakang Selangor dan Pulau Pinang, kenapa kita nak ke depan kemudian nak ke belakang.
"Saya risau soal kebajikan dan ekonomi jika pengundi terputus hubungan dengan kerajaan negeri,” ujarnya.
Mengulas lanjut mengenai kekuatan BN dan Pakatan Harapan (PH) di DUN berkenaan, Mohd Kamil berkata salah satu dari tiga DUN di bawah Parlimen Bentong itu didominasi oleh kedua-dua parti itu sejak sekian lama.
"Setiap parti ini ade pengaruh tersendiri, BN/PH masng-masing ada jentera dan kekuatan masing-masing.
"Walaupun begitu, saya sering ingatkan anak-anak buah saya dilapangan ini walaupun kita ada kelebihan kita ambil pendekatan moderat, tak payah beria-ria sangat kerana yang penting kita ada keyakinan mereka akan undi BN pada PRK kali ini,” katanya.