'Sudah biasa batu nisan hiasi laman rumah'

Iklan
Mat Rashid menunjukkan kubur lama berdekatan dengan rumahnya di Kampung Permatang.

KUALA SELANGOR - Batu nisan menghiasi laman rumah penduduk di Kampung Permatang di sini perkara biasa sejak ratusan tahun lalu.

Seorang penduduk, Mohd Roslan Zainal, 62, berkata, perkampungan itu telah lama wujud dan dipercayai penempatan tertua di negeri ini.

Iklan
Iklan

"Kalau diikutkan kampung ini pusat pemerintahan kerajaan Selangor lama dan kubur ini mungkin ada kaitan dengan penduduk yang pernah menetap di sini suatu ketika dulu," katanya ketika ditemui pada Selasa.

Mohd Roslan

Iklan

Mohd Roslan memberitahu, kawasan kampung itu juga asalnya tidak mempunyai wakaf kubur menyebabkan jenazah hanya ditanam di hadapan rumah.

Katanya, terdapat kira-kira 500 batu nisan 'purba' berada di kawasan berhampiran rumah dan masjid di kampung berkenaan.

Iklan

"Bagi mereka yang pertama kali datang ke kampung ini mungkin berasa pelik sebab kiri dan kanan jalan mereka akan nampak batu nisan, tetapi bagi kami ini pandangan biasa di kampung ini," jelasnya.

Katanya, terdapat beberapa peristiwa yang masih segar di ingatannya antaranya sebuah kubur milik seorang gadis berbau wangi dan bercahaya pada waktu malam.

"Semasa saya kecil, kampung ini pernah menjadi bualan kerana ada satu kubur wanita muda diterangi cahaya dan keadaan ini berlarutan lebih dua bulan," jelasnya.

Seorang lagi penduduk, Mat Rashid Saari, 62, berkata, sejak lahir lagi kawasan berdekatan rumahnya itu dipenuhi batu nisan.

Menurutnya, semasa zaman kecilnya, berlaku beberapa kali peristiwa batu nisan berbunyi pada waktu malam.

"Arwah bapa saya penggali kubur dan dia pernah beritahu kalau batu nisan berbunyi, maka sehari dua nanti mungkin ada penduduk kampung ini yang akan meninggal dunia.

"Tapi itu semua berlaku semasa saya kecil, sekarang tak lagi kedengaran batu nisan berbunyi," jelasnya.

Muhammad Fariz (kiri) menunjukkan sebuah kubur lama di tepi jalan di Kampung Permatang Tengah.

Muhammad Fariz Aiman Abdul Razak, 22, memberitahu, pelbagai kejadian aneh pernah diceritakan penduduk lama yang menetap di kampung berkenaan.

Katanya, pernah suatu ketika terdapat khemah 'terbang' ke bumbung semasa majlis perkahwinan di salah sebuah rumah penduduk pada awal tahun 2000.

"Saya difahamkan penduduk ingin mengadakan kenduri kahwin mahu mengalihkan kubur lama ke tempat lain, tetapi berlaku beberapa kejadian seperti khemah tiba-tiba terangkat sampai atas bumbung.

"Sehingga kini, kejadian itu masih menjadi misteri kepada penduduk lebih-lebih lagi pada waktu itu tiada ribut dan angin kuat," jelasnya.