JOHOR BAHRU -"Alhamdulillah, kami selamat," kata Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi muat naik di laman Facebooknya.
Tunku Ismail berada di hotel berhampiran pusat beli-belah Siam Paragon Mall di Bangkok, Thailand ketika insiden tembakan berlaku petang Selasa, yang mengorbankan dua orang.
Menurut baginda, orang ramai menjerit dan berlari masuk ke dalam hotel dari pusat membeli-belah apabila penembak mula melepaskan tembakan.
"Ia sangat bising dan terdapat begitu banyak jeritan. Kami semua sedang duduk di lobi hotel ketika itu.
"Kami membawa kanak-kanak dan keluarga ke tempat yang selamat, berlari ke ruang bawah tanah bersama pasukan saya dan fikiran saya tertumpu kepada berapa ramai penembak di luar sana, apa senjata yang mereka gunakan dan apa situasinya.
"Kami perlu berjaga-jaga dan bersedia untuk sebarang kemungkinan kerana yang kami tahu ketika itu hanyalah bunyi tembakan yang kedengaran. Kami tidak mempunyai maklumat lain dan perlu bersedia untuk apa-apa perkara yang boleh berlaku," katanya.
Tunku Ismail juga terbayang waktu menenangkan anak-anaknya yang ketakutan dan menangis.
"Saya memberitahu anak-anak saya,"semuanya akan kembali okay. Babah dan Mama ada di sini" dan menyuruh mereka tunduk sementara menunggu kenderaan tiba.
"Saya dan pasukan keselamatan kami berdiri di hadapan keluarga saya, membina perisai manusia untuk melindungi mereka walau apa pun berlaku. Apa yang difikiran saya adalah untuk membawa keluarga dan pasukan saya keluar dari tempat itu.
"Isteri saya memeluk anak-anak kami, menundukkan diri dan cuba menenangkan mereka kerana mereka ketakutan dan menangis," jelasnya.
Baginda menjerit sekuat hati kepada pasukan keselamatannya untuk membawa kereta ke ruang bawah tanah dan membawa mereka ke lokasi yang selamat jauh dari tempat tersebut.
"Saya memberitahu mereka untuk membawa kami ke Kedutaan Malaysia, dan pemandu memberitahu kami Kedutaan Singapura lebih dekat dan ketika itu saya menghubungi Konsul Jeneral Singapura di Johor.
"Kini kami selamat berada di Kedutaan. Saya menghubungi Perdana Menteri Malaysia dan Menteri Pertahanan kita untuk memaklumkan apa yang berlaku. Duta Besar Malaysia turut ada bersama kami," katanya.
Menurut baginda, setelah semuanya selamat, mereka sekeluarga akan ke lapangan terbang dan terbang pulang ke Johor.
"Malangnya, saya terlepas perlawanan JDT tetapi saya bersyukur keluarga saya dan pasukan kami selamat. Ini adalah pengalaman terburuk yang pernah saya lalui.
"Melindungi nyawa anak-anak saya daripada pembunuh. Dua orang meninggal dunia. Semoga ALLAH merahmati roh mereka yang tidak berdosa.
"Terima kasih kepada pasukan keselamatan saya dan rakan-rakan kami dari Singapura dan Malaysia. Saya akan selamanya berterima kasih kepada anda semua," katanya.
Pemilik pasukan JDT itu berada di Bangkok bagi saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) yang menyaksikan JDT merakam kemenangan pertama Kumpulan I dengan menjinakkan BG Pathum United 4-2 pada Selasa.