TEMERLOH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) cawangan Temerloh menyita produk kecantikan tiruan dianggarkan bernilai lebih RM2,600 dalam operasi membanteras produk kosmetik menggunakan cap dagangan salah di sini pada Selasa.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Cawangan Temerloh, Abdul Razak Yahaya berkata, rampasan tersebut dilakukan dalam satu serbuan ke atas sebuah premis yang dijadikan stor penyimpanan produk kosmetik di Jalan Industri Seberang 3 di sini.
Menurutnya, hasil maklumat dan aduan awam yang diterima, penguat kuasa KPDN Cawangan Temerloh telah menjalankan risikan dan tinjauan selama seminggu.
"Hasil pemantauan mendapati peniaga terbabit, lelaki berusia 41 tahun menjalankan urusniaga produk berkenaan secara dalam talian.
"Hasil pemeriksaan dijalankan mendapati terdapat produk kosmetik sepertimana yang diadu dalam milikan pemilik premis yang menggunakan cap dagangan secara salah," katanya.
Abdul Razak berkata, tindakan telah diambil di bawah Seksyen 102 Akta Cap Dagangan 2019 dan kesemua produk kosmetik yang diadu telah disita untuk siasatan lanjut.
Beliau berkata, mana-mana individu atau peniaga diingatkan agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan kerajaan.
"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau peniaga yang memiliki barangan yang menggunakan cap dagangan secara salah.
"Individu yang melakukan kesalahan tersebut berdepan hukuman denda sehingga RM10,000 bagi setiap unit barangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
"Bagi syarikat pula denda sehingga RM15,000 bagi setiap unit barangan di bawah Akta Cap Dagangan 2019," jelasnya.