Tembakan di Bangkok: PM Thailand ikrar langkah keselamatan tertinggi untuk pelancong

Iklan
Laporan Sinar Harian.

BANGKOK - Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin berjanji akan melaksanakan langkah keselamatan tertinggi bagi memastikan keselamatan pelancong asing susulan insiden tragis dua individu maut dalam insiden tembakan di Pusat Beli-belah Siam Paragon, Bangkok pada Selasa.

Srettha mengarahkan agensi berkaitan seperti polis, Kementerian Pelancongan, Kementerian Luar dan Kementerian Kesihatan Awam untuk menyiasat punca kejadian dan membangunkan langkah-langkah untuk mencegah kejadian berulang pada masa hadapan.

Iklan
Iklan

"Mulai sekarang, kerajaan Thailand akan melaksanakan langkah keselamatan tertinggi untuk semua pelancong," menurut hantarannya di platform 'X' (dahulunya dikenali sebagai Twitter).

Polis Thailand mengesahkan bahawa dua individu, seorang warga China dan seorang warga Myanmar maut, manakala lima lagi cedera dalam kejadian tembakan di Pusat Beli-belah Siam Paragon, iaitu pusat beli-belah paling ikonik di Thailand, yang menjadi tumpuan penduduk tempatan dan pelancong.

Iklan

Mangsa yang cedera, terdiri daripada seorang warga Laos, seorang warga China dan tiga warganegara tempatan.

Polis menahan seorang remaja berusia 14 tahun sejurus kejadian yang berlaku 4.20 petang (waktu tempatan).

Iklan

Srettha turut melawat lokasi kejadian serta mangsa yang cedera di dua hospital.

Beliau merakamkan ucapan takziah kepada keluarga pelancong China yang cedera atau terbunuh dalam insiden tembakan itu, melalui Duta Besar China ke Thailand Han Zhiqiang.

Srettha berkata, Han menzahirkan penghargaannya atas tindakan pantas pihak berkuasa Thailand terhadap insiden itu.

"Kedutaan (Cina) telah meminta kerajaan Thailand memberikan maklumat yang jelas dan telus mengenai kejadian terbabit, supaya Kedutaan dapat menyampaikan maklumat ini kepada rakyat China dan membantu mengurangkan sebarang kesan negatif terhadap pelancongan,” katanya.

Kebimbangan kesan negatif terhadap sektor pelancongan di Thailand telah dibangkitkan selepas insiden di pusat beli-belah itu, kerana negara itu menyasarkan untuk memulihkan industri pelancongannya.

Thailand telah memberikan pengecualian visa sementara untuk penginapan 30 hari, bermula 25 September hingga 29 Februari tahun depan.

Sementara itu, ketua polis negara, Pol Jen Torsak Sukvimol berkata, suspek mempunyai sejarah penyakit mental.

"Suspek mendakwa dia telah mendengar suara yang menyuruhnya menembak orang," katanya.

Sementara itu, sebuah sekolah swasta The Essence yang terletak beberapa meter dari Siam Paragon mengesahkan suspek merupakan seorang daripada pelajarnya.

Pihak sekolah mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan meminta orang ramai menghormati privasi keluarga remaja lelaki berkenaan.

Kejadian tembakan besar-besaran jarang berlaku di Thailand, namun ini adalah serangan senjata api ketiga sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Pada 2020, seorang anggota tentera menembak dan membunuh 29 orang dan mencederakan 58 lagi dalam kejadian amuk merentasi empat lokasi di sekitar bandar timur laut Nakhon Ratchasima.

Pada 6 Oktober tahun lepas, 36 orang terbunuh dalam serangan senjata api dan pisau di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di wilayah Nong Bua Lamphu. - Bernama