KENINGAU - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi kanak-kanak yang dikhuatiri lemas diperluas sehingga sejauh tujuh kilometer di sepanjang Sungai Pagalan di sini pada Rabu.
Mangsa Arlina Jabar, 9, masih belum ditemukan, manakala mayat mangsa pertama iaitu kakaknya, Azila, 12, ditemukan dalam SAR hari kedua.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Sharudy Delamin berkata, operasi yang memasuki hari ketiga dimulakan seawal jam 5.50 pagi.
"Jarak pencarian semalam dari lokasi kejadian mangsa dipercayai tenggelam iaitu 2.5 kilometer ditambah lagi keluasannya sejauh 4.5 kilometer pada hari ini.
"Operasi pencarian masih menggunakan teknik sama iaitu menyusuri tebing sungai dengan berjalan kaki oleh anggota penyelamat dan penduduk kampung, manakala Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) menjalankan operasi pencarian dengan membuat selaman," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Katanya lagi, maklumat akan dikemas kini dari masa ke masa.
Dalam kejadian Isnin lalu, dua beradik itu sedang bermain di tebing sungai di Kampung Linkudou, dekat sini, bagaimanapun Arlina dikatakan terjatuh ke sungai.
Azila kemudian terjun ke sungai bagi menyelamatkan adiknya namun kedua-duanya didapati hilang dipercayai akibat dibawa arus.