SUNGAI SIPUT - Bapa tiri kepada seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun akan dipanggil untuk beri keterangan selepas video 'mendera' anak tirinya itu mula tular di laman sosial sejak semalam.
Rakaman video berdurasi 9 minit 33 saat itu menunjukkan seorang kanak-kanak lelaki berbogel di halaman rumahnya dalam keadaan berlutut dengan kedua-dua tangan diangkat ke atas seperti dikenakan denda.
Dalam video itu, seorang lelaki dilihat memarahi mangsa dengan memegang penyapu dan mengacah mahu memukulnya
Difahamkan, mangsa dimarahi oleh bapa tirinya itu selepas dia membawa pembesar suara dari rumah mereka ke sekolah tanpa kebenaran.
Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu daripada ibu saudara mangsa selepas menonton rakaman video itu.
"Lelaki berusia 20-an dalam rakaman video itu merupakan bapa tiri kepada mangsa.
"Siasatan sedang dijalankan dan kita akan melengkapkan siasatan dengan kadar segera," katanya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.