BENTONG - Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mempersoalkan tindakan kerajaan yang mengarahkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menguruskan pengagihan bekalan beras kepada rakyat.
Menurutnya, apa yang berlaku bertentangan dengan peranan agensi itu sedangkan Malaysia mempunyai sistem pengagihan dan rantaian bekalan beras sejak 50 tahun lalu.
"Tapi hari ini baca berita, Mat Sabu (Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu) menyampaikan penerangan kepada PM, memberitahu dia sedang menguruskan soal bekalan menerusi FAMA...dan tak ada kenyataan PM kata (langkah itu) tak betul.
"Kita tengok hampir banyak video sudah tular. Orang mesti beratur nak ambil bekalan beras...bekalan FAMA. Mana ada kerja FAMA bekalkan beras. Tuan-tuan pernah dengar?
"Tak pernah dibuat begitu sebab bukan kerja FAMA. Kalau FAMA buat kerja ni (agih bekalan beras) dah jadi tanggungjawab baru," katanya ketika berucap pada Ceramah Perdana Perikatan Nasional (PN) sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Pelangai di Felda Chemomoi di sini pada Selasa.
Muhyiddin menambah, isu kekurangan bekalan beras tidak sepatutnya berlaku di negara ini.
Katanya, sekiranya FAMA diberi tanggungjawab mengagihkan bekalan beras ia akan memberi kesan kepada pemasaran hasil tani lain.
"FAMA bekalkan sayur, beli sayur pasarkan sayur, kelapa... tak pernah masuk dalam senarai tu (agihkan bekalan) beras.
"Jadi masalah pada petani-petani lain. Siapa nak bekal, siapa jual siapa nak pasar bekalan orang-orang kampung yang akan diurus menerusi bantuan dari FAMA.
"FaAMA kata lori tak ada, orang tak ada sebab Mat Sabu suruh atur dan agih (beras) kepada seluruh negara," katanya.