KUALA LUMPUR - Hari kedua Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Pertanian dan Perhutanan ke-45 (AMAF 2023) membincangkan persiapan agenda yang akan dibawa ke mesyuarat yang dijangka berlangsung pada Rabu.
Mesyuarat dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Lokman Hakim Ali pada Selasa memberi fokus kepada perbincangan untuk memampankan sektor pertanian dan perhutanan bagi mencapai matlamat ASEAN sebagai pusat pasaran serta pengeluar tunggal produk makanan, pertanian dan perhutanan berdaya saing.
Tumpuan turut diberikan terhadap peranan serta kedudukan ASEAN sebagai 'bakul makanan dunia' di samping memelihara keterjaminan makanan selaras pembentukan Komuniti Ekonomi ASEAN pada tahun 2015.
AMAF 2023 yang berlangsung selama lima hari bermula 2 Oktober di ibu negara disertai Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.
Selain itu, Timor Leste turut serta sebagai negara pemerhati termasuk penyertaan Negara ASEAN Campur Tiga iaitu China, Jepun dan Korea Selatan.
Mesyuarat AMAF yang dihadiri oleh Menteri-menteri Pertanian dan Perhutanan ASEAN diadakan sekali pada setiap tahun dengan tanggungjawab penganjuran ditetapkan secara penggiliran mengikut abjad negara-negara ASEAN.
Ia menjadi platform bagi negara terlibat berbincang dan membawa isu-isu berkaitan pertanian dan perhutanan, selain menjadi payung kepada badan-badan sektoral yang fokus terhadap elemen serta disiplin pertanian.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dijadual merasmikan AMAF 2023 pada Rabu yang disertai Menteri-menteri Pertanian dan Perhutanan ASEAN termasuk Timor Leste serta Negara ASEAN Campur Tiga.