ISKANDAR PUTERI - Seorang pekerja kapal warga asing dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam laut di Blok 15 Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Gelang Patah dekat sini pada Selasa.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Khairi Zainuddin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.12 pagi.
Iklan
Iklan
Susulan itu katanya, 24 anggota BBP Iskandar Puteri dan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) BBP Skudai dikejarkan ke tempat kejadian.
"Mangsa yang merupakan seorang lelaki warga Bangladesh dikenali Miah Md Ujjal iaitu pekerja kapal staflift telah terjatuh dalam laut pada ketinggian lebih kurang enam meter ketika membuat kerja di atas sebuah kapal Als Clivia.
"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan oleh dua anggota PPDA di lokasi mangsa dipercayai jatuh dengan radius pencarian 25 meter ke kiri dan kanan kapal," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, operasi SAR dihentikan sementara pada jam 3.15 petang disebabkan keadaan arus laut melebihi 2 knot dan berbahaya kepada pasukan PPDA sebelum disambung semula pada jam 4.18 petang setelah keadaan kembali normal.
Katanya, operasi masih dijalankan bagi mencari dan menyelamat mangsa tersebut.