BENTONG - Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin calon mereka, Kasim Samat mampu menang besar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Pelangai Sabtu ini jika 90 peratus keluar mengundi.
Menurutnya, peratusan keluar mengundi yang tinggi amat penting untuk membolehkan PN mencapai matlamat itu.
"Saya jamin kalau 99 peratus keluar, kalau tidak pun 90 peratus Melayu keluar (mengundi) calon kita akan memperoleh kemenangan besar pada 7 Oktober ini (Sabtu)," katanya ketika menutup ucapannya pada Ceramah Perdana PN di Felda Chemomoi di sini pada Selasa.
PRK DUN Pelangai diadakan setelah kerusi itu diisytiharkan kosong susulan kematian penyandangnya daripada BN, Datuk Seri Johari Harun yang terlibat nahas pesawat ringan di Elmina, Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu.
PN menampilkan semula bekas guru yang juga calon gabungan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu yang mesra dengan panggilan Cikgu Kasim.
BN pula meletakkan anak tempatan, Datuk Amizar Abu Adam dan seorang lagi calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli juga bertanding merebut kerusi tradisi UMNO itu.
DUN Pelangi mempunyai 16,456 pemilih terdiri daripada 73 peratus pengundi Melayu iaitu 11,950 orang.
Dalam pada itu, Muhyiddin berharap penyokong UMNO mengundi PN kerana parti itu didakwa menyimpang daripada perjuangan asal membela nasib orang Melayu.
"Apa yang saya perjuangkan dalam UMNO (dulu), tidak lagi diperjuangkan oleh pemimpin UMNO yang ada pada hari ini," katanya.