KOTA BHARU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan menjadikan dikir buskers sebagai medium untuk menyalurkan maklumat berkait hak pengguna kepada masyarakat.
Pengarahnya, Azman Ismail berkata, pemilihan itu dilihat tepat kerana persembahan tersebut menggunakan loghat negeri ini.
"Ini adalah salah satu inovasi baharu yang kita perkenal dengan tujuan rakyat tahu hak-hak mereka sebagai pengguna.
"Paling penting, loghat Kelantan itu menyebabkan mesej yang hendak kita sampaikan lebih mudah sekali gus ‘melekat’ dalam kepala mereka," katanya kepada pemberita pada Rabu.
Menurut beliau, dikir buskers diilhamkan daripada dikir barat yang diberi suntikan lebih segar melibatkan penggunaan alat-alat muzik moden seperti gitar.
Ujarnya, usaha yang dirintis sejak awal tahun ini mendapat respons positif dalam kalangan masyarakat.
Azman memberitahu, menariknya persembahan dikir buskers menampilkan artis ternama tempatan seperti Man Khan, Aris Kapillah, Poyie Gasi dan ramai lagi.
Kata beliau, penglibatkan artis-artis terkenal ini memudahkan lagi penyampaian mesej dilakukan kepada masyarakat.
"Kita mahu masyarakat faham tanggungjawab dan hak-hak sebagai pengguna," ujarnya.
Menurut Azman, ramai pengguna mengakui pendekatan itu memudahkan mereka untuk lebih memahami mesej berkait dengan kepenggunaan secara jelas.
"Kita akan memperhebat usaha pendidikan supaya mereka tahu hak sebagai pengguna dan bagaimana hendak membuat laporan jika berdepan dengan masalah melihatkan kepenggunaan," katanya.