Pemanah India terlalu hebat buat Mohd Juwaidi-Fatin Nurfatehah

Iklan
Mohd Juwaidi. Foto Bernama

HASRAT gandingan negara Mohd Juwaidi Mazuki-Fatin Nurfatehah Mat Salleh mencipta kejutan ke atas pasangan India tidak kesampaian apabila tewas di peringkat suku akhir acara compound berpasukan campuran pada Sukan Asia Hangzhou 2022 pada Rabu.

Pada aksi di Pusat Sukan Fuyang Yinhu itu, gandingan India Ojas Pravin Deotale-Jyothi Surekha Vennam ternyata berada dalam kelas tersendiri apabila melakukan panahan sempurna dalam tiga daripada keseluruhan empat end untuk melakar kemenangan 158-155.

Iklan
Iklan

Fatin Nurfatehah menyifatkan tuah tidak berpihak mereka apabila bertemu India di peringkat suku akhir.

Fatin Nurfatehah. Foto Bernama.

"Kurang bernasib baik, ranking tak berapa cantik jumpa ranking pertama di suku akhir dan saya akui pasukan India memang hebat dan sudah pegang gelaran berpasukan campuran dari awal tahun ini lagi. Kita sudah lakukan yang terbaik, cuma mereka lebih baik," katanya.

Iklan

Pasangan India itu kemudian menewaskan gandingan Andrey Tyutyun-Adel Zhexenbinova dari Kazakhstan 159-154 di peringkat separuh akhir sebelum mengesahkan pingat emas selepas mengatasi wakil Korea Selatan Joo Jaehoon-So Chaewon 159-158 di akhir.

Gangsa menjadi milik pasangan Taiwan Chang Cheng Wei-Chen Yi Hsuan yang mengalahkan Tyutyun-Zhexenbinova 157-154 dalam penentuan gangsa.

Iklan

Untuk rekod, Deotale mencipta sejarah apabila menjadi pemanah lelaki India pertama merangkul emas acara compound individu di Kejohanan Dunia pada Ogos lepas.

Kem memanah negara masih berpeluang menyumbang pingat dalam acara compound berpasukan lelaki dibarisi Mohd Juwaidi, Alang Ariff Aqil Muhammad Ghaz dan Mohamad Syafiq Md Ariffin yang akan membuat perhitungan menentang trio Iran di pentas suku akhir pada Khamis. - Bernama