PUTRAJAYA - Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Azizah Nawawi menarik diri daripada mendengar rayuan Datuk Seri Najib Razak untuk mengembalikan semula saman RM1.9 juta terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas atas dakwaan salah guna jawatan awam.
Azizah yang mempengerusikan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan berkata, beliau berhasrat untuk menarik diri daripada mendengar rayuan itu atas alasan suaminya pernah berkhidmat di bawah Thomas dan kerana kes berkenaan melibatkan kepentingan awam.
Pada permulaan prosiding hari ini, beliau memberitahu, pihak-pihak terlibat dalam rayuan itu bahawa suaminya Datuk Nik Suhaimi Nik Sulaiman adalah Ketua Bahagian Rayuan dan Perbicaraan di Jabatan Peguam Negara semasa Thomas menjadi Peguam Negara.
Beliau kemudian bertanya sama ada mereka membantah beliau mengetuai panel rayuan Najib itu.
Peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin yang mewakili Najib, selepas berunding dengan anak guamnya, memberitahu mahkamah bahawa bekas perdana menteri itu meminta Azizah menarik diri daripada mendengar rayuannya.
Firoz berkata, arahan daripada anak guamnya adalah supaya membantah Azizah daripada mendengar rayuan itu memandangkan Thomas yang menjadi subjek utama dalam prosiding berkenaan.
Peguam Alan Adrian Gomez yang mewakili Thomas berkata, mereka tidak membantah Hakim Azizah mendengar rayuan itu.
Beliau berkata, beliau tidak mendengar sebarang alasan yang menunjukkan terdapat bahaya berat sebelah jika hakim itu mendengar rayuan tersebut.
Azizah kemudiannya memutuskan untuk menarik diri dan mengarahkan pengurusan kes untuk menetapkan tarikh pendengaran rayuan.
Panel hakim lain ialah Datuk See Mee Chun dan Datuk Lim Chong Fong, sepatutnya mendengar rayuan Najib hari ini untuk mengembalikan semula samannya terhadap Thomas. Samannya dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi pada 25 November tahun lepas.
Dalam samannya, Najib mendakwa beliau telah dituduh melakukan rasuah dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), International Petroleum Investment Company (IPIC), salah guna kuasa di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan pengubahan wang haram di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).
Thomas adalah Peguam Negara dari 4 Jun 2018, hingga 28 Februari 2020.
Dalam saman yang difailkan pada 22 Oktober 2021, Najib berkata, pertuduhan terhadapnya adalah sebahagian daripada langkah yang telah dirancang lebih awal oleh Thomas dan ia juga selaras dengan rancangan kerajaan Pakatan Harapan ketika itu.
Beliau memohon pengisytiharan bahawa Thomas telah melakukan penyelewengan dalam jawatan awam serta menuntut ganti rugi sebanyak RM1.9 juta, termasuk yuran rundingan untuk pasukan audit menyemak dokumentasi bagi penyediaan fakta bagi menangani pendakwaan terhadapnya. - Bernama