Bicara kes seksual PU Azman, Mei tahun depan

Iklan
PU Azman bersama peguamnya.

AMPANG - Perbicaraan kes pendakwah selebriti, Pencetus Ummah (PU) Azman atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan berkomunikasi secara seksual terhadap seorang remaja lelaki berusia 17 tahun di Mahkamah Sesyen di sini, ditetapkan bermula Mei, tahun depan.

Tarikh-tarikh itu ialah bermula 8, 9, 23, 29, 30 Mei manakala satu hari lagi, pada 4 Jun 2024.

Iklan
Iklan

Hakim, Norhazani Hamzah menetapkan perkara itu, selepas pihak pendakwaan memohon pertuduhan berkomunikasi secara fizikal di Mahkamah Sesyen Klang, dipindahkan untuk dibicarakan secara bersama dengan kes amang seksual fizikal yang dikemukakan di mahkamah ini.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Norhashimah Hashim berkata, pertuduhan di Klang telah dipindahkan ke Ampang pada 4 September lalu.

Iklan

"Kami mohon kedua-dua pertuduhan dibicara secara bersama dan pengurusan kes ditetapkan pada 2 April 2024.

"Bagi makluman mahkamah juga, semua dokumen berkaitan kes telah diserahkan kepada pihak pembelaan di Klang dan dokumen tersebut sama dengan kes di sini,'' katanya.

Iklan

Sementara itu, peguam, Muhammad Fairuz Iskandar Zainal Abidin yang mewakili PU Azman atau nama sebenarnya Azman Syah Alias, tidak membantah perkara berkenaan.

Mahkamah kemudian menetapkan 21 November depan untuk sebutan kes, bagi mengesahkan sama ada semua dokumen telah diserahkan kepada pihak pembelaan.

Azman, 42, menghadapi 12 pertuduhan seksual iaitu lima pertuduhan di Mahkamah Sesyen Seremban, empat kes di Mahkamah Majistret dan Sesyen Klang, satu pertuduhan di Mahkamah Sesyen Ampang dan dua kes di Mahkamah Shah Alam.

Pada 12 Oktober 2022, dia dituduh atas lima kes melakukan amang seksual terhadap dua remaja lelaki berusia 17 tahun, Februari dan Julai tahun sama.

Pada 7 Disember 2022 pula, dia didakwa lagi di Mahkamah Sesyen dan Majistret Klang, atas empat pertuduhan melakukan amang, komunikasi seksual dan kelucahan melampau terhadap tiga remaja lelaki berusia 17 dan 19 tahun, pada Februari hingga Ogos tahun sama.

Di Ampang pula, dia didakwa atas satu pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun, pada 22 Julai 2022.

Di Mahkamah Sesyen Shah Alam, dia didakwa atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun, pada 2017 lalu.