Pakai seluar pendek 3 kali dianggap fasiq dan tak boleh jadi wali nikah?

Iklan
SELAMA ini, kita sering kali mendengar orang di sekeliling menyatakan, lelaki berseluar pendek lebih tiga kali tidak boleh menjadi wali nikah. -Gambar hiasan

KITA biasa melihat lelaki memakai seluar pendek. Asalkan labuhnya melepasi lutut sudah dikira menutup aurat.

Namun begitu, ada juga segelintir lelaki berseluar pendek atas dari paras lutut. Cara pemakaian sebegitu dikatakan boleh mengundang fasiq dan tidak boleh menjadi wali nikah.

Iklan
Iklan

Frasa itu sering kali kita dengar. Malah, video yang menyentuh perkara tersebut pernah tular sekitar awal tahun ini.

Benarkah pernyataan tersebut?

Iklan

Sebelum menjawab persoalan itu, mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri dalam Maktabah Albakri menjelaskan, aurat lelaki adalah antara pusat dan lutut sebagaimana dinyatakan dalam Mazhab Syafie dan Hanbali.

DR ZULKIFLI

Iklan

"Bagaimanapun, pusat dan lutut itu sendiri bukan aurat,” katanya sepertimana dipetik menerusi artikel #2345: Benarkah Memakai Seluar Pendek Tiga Kali Dianggap Fasiq dan Tidak Boleh Jadi Wali?

Ia sebagaimana teguran Nabi Muhammad SAW kepada Jarhad ketika pahanya terselak di dalam solat.

Baginda SAW bersabda: "Tutuplah pahamu kerana paha itu aurat.” (Hadis Riwayat Abu Daud, at-Tirmizi dan Ahmad)

Berdasarkan hadis tersebut, Dr Zulkifli menjelaskan, melanggar hal berkenaan telah dipanggil sebagai fasiq.

"Tidak semestinya dua kali atau tiga kali. Namun, kerja kita adalah sentiasa bertaubat.

"Dalam Islam, apa yang paling pentingnya adalah sentiasa kembali kepada ALLAH dan memperbanyakkan beristighfar,” ungkapnya.

Fakta itu turut disokong oleh pendakwah dan penulis buku kerohanian yang dikenali sebagai Muzuza.

Jelas beliau, sesiapa yang melazimi dosa memang boleh menjadi fasiq.

"Namun begitu, untuk isu wali nikah, ada perinciannya yang mana tidak sesenang itu kita boleh katakan ‘tak boleh jadi wali’ secara total,” katanya sebagaimana tulis beliau menerusi akaun platform X miliknya.

WALI fasik tidak boleh menjadi wali pernikahan anak perempuannya, namun sukar untuk mencari orang yang tidak fasik. Justeru disarankan supaya enolong Pendaftar Bahagian Perkahwinan Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri memulakan upacara akad nikah dengan bersama-sama syahadah dan beristighfar. -Gambar hiasan/ Foto: 123rf

Beliau kemudian berkongsikan pautan laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan tentang isu wali fasiq.

Memetik artikel Al-Kafi #762: Wali Fasiq Menikahkan Anaknya, wali fasiq ialah wali yang tidak adil.

"Wali yang fasiq (tidak adil), tidak boleh mengahwinkan perempuan yang beriman. Bahkan, hak perwalian berpindah kepada wali adil yang seterusnya mengikut urutan,” katanya.

Bagaimanapun, kitab yang sama turut menyatakan, terdapat pandangan lain menjelaskan bahawa adil tidak menjadi syarat dalam perkahwinan.

"Ini kerana kelayakan menjadi wali adalah berdasarkan kepada pertalian waris yang menimbulkan perasaan kasih sayang untuk kebaikan orang di bawah jagaannya waima dia bersikap adil atau sebaliknya.

"Meletakkan syarat adil kepada wali menyebabkan berlakunya kesulitan yang besar disebabkan orang yang adil sedikit sahaja bilangannya, lebih-lebih lagi pada masa ini.

"Pada zaman mana-mana pun, tidak pula diketahui ada orang fasiq yang dilarang mengahwinkan anak-anak perempuan mereka,” kata pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji.

KELAYAKAN menjadi wali adalah berdasarkan kepada pertalian waris yang menimbulkan perasaan kasih sayang untuk kebaikan orang di bawah jagaannya waima dia bersikap adil atau sebaliknya. -Gambar hiasan/ Foto: 123rf

"Begitu juga berlaku pengulangan istighfar dan taubat beberapa kali sebelum majlis akad nikah. Di samping itu, ambillah kesempatan untuk memberi nasihat agar para wali sentiasa berbuat demikian.

"Ini kerana pada zaman sekarang, sukar untuk mencari orang yang tidak fasiq mengikut nilaian fasiq pada zaman dahulu.

"Justeru, sekiranya wali itu merupakan wali mujbir, maka hendaklah diminta untuk bertaubat sebelum berlangsungnya majlis akad atau mereka boleh mewakilkan kepada imam atau jurunikah,” sarannya.