Enam wanita antara 10 ditahan kes palsu dokumen

Iklan

KUALA LUMPUR - Enam wanita warga tempatan antara 10 individu ditahan dipercayai terlibat dalam kegiatan pemalsuan dokumen menerusi serbuan di sebuah premis di Jalan Gombak, Setapak di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintenden Ashari Abu Samah berkata, operasi dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, kesemua suspek terdiri empat lelaki dan enam wanita yang ditahan berumur antara 21 hingga 36 tahun.

"Turut dirampas tiga set komputer, 77 keping kad ATM pelbagai bank, 10 unit telefon bimbit dan 43 cop atas nama pelbagai syarikat.

Iklan

"Selain itu, serbuan dijalankan turut merampas beberapa pelbagai dokumen dan penyata gaji atas nama pelanggan yang disyaki digunakan dalam menjalankan kegiatan pemalsuan," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Katanya, siasatan mendapati ahli sindiket ini menawarkan perkhidmatan menerusi medium media sosial.

Iklan

"Sindiket ini menyasarkan individu yang ingin mendapatkan pinjaman wang dari institusi bank tempatan dengan memalsukan dokumen untuk dikemukakan kepada pihak bank.

"Sindiket ini turut dikesan beroperasi selama empat tahun di sekitar Kuala Lumpur," katanya.

Menurutnya, kesemua suspek ditahan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah terperdaya dengan tawaran dari mana-mana pihak yang tidak dikenali selain membuat semakan terlebih dahulu sebelum memuat turun sebarang aplikasi daripada sumber yang tidak sah.

"Sebarang maklumat berkaitan kegiatan penipuan boleh disalurkan menerusi National Scam Response Center (NSRC) di talian 997, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584/0585, CCID Scam Response Center di talian 03-26101559/1599, atau mana-mana balai polis yang berdekatan," katanya.