KUANTAN - Sentimen yang dimainkan oleh pihak lawan dengan mengungkit kisah silam calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli sebagai seorang yang pernah melakukan kesalahan jenayah disifatkan seperti 'membunuh' kempennya dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.
Beliau berkata, perbuatan tersebut tidak seharusnya dilakukan kerana pertandingan dalam PRK perlu dilakukan secara matang dan sihat.
"SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) sahkan saya boleh bertanding bermakna tiada kes sedang berjalan. Kalau ikutkan Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dari penjara ke (menjadi) PM (Perdana Menteri) jadi helmi (saya) dari lokap reman InsyaAllah bakal YB (wakil rakyat).
"Maka jangan mencipta fitnah demi untuk meraih kemenangan," katanya pada Rabu.
Presiden Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP) itu ditemui selepas menyantuni pengundi di kampung Chemomoi di sini.
Sebelum itu, tular satu gambar di aplikasi WhatsApp sejarah silam termasuk rekod jenayah yang didakwa pernah dilakukan sebelum ini oleh calon Bebas.
Haslihelmy bagaimanapun yakin dengan penerimaan pengundi walaupun tidak mempunyai jentera untuk berkempen.
Jelasnya, sehingga kini masih berusaha 'menembusi' kawasan DUN bagi membolehkan dirinya dipilih pengundi pada Sabtu ini.
"Saya terus menyantuni saudara mara, sahabat-sahabat, pengundi-pengundi dalam tempoh kempen berbaki tiga hari saja sebelum hari kemuncak.
"Reaksi dan maklum balas diterima cukup baik. Saya yakin peluang calon Bebas untuk menjadi YB (Yang Berhormat) di Pelangai semakin cerah," katanya.
Mengulas lanjut mengenai reaksi Tan Sri Adnan Yaakob supaya tidak menggunakan namanya, Haslihelmy berkata sepanjang tempoh 11 hari berkempen, beliau tidak pernah menjual nama mantan menteri besar itu.
"Saya berkempen sehingga hari ini (Rabu) tidak ada jual mana-mana nama sekali pun bahkan beliau (Adnan).
"Jadi, saya rasa ada pihak di sebelah sana cuba wujudkan persepsi dan naratif tidak baik kepada saya dengan beliau, saya mohon pihak luar sana hentikan,” katanya.
Pada Khamis, Adnan menasihatkan calon Bebas PRK Pelangai agar tidak menggunakan namanya untuk memancing undi sepanjang kempen pilihan raya terbabit.
PRK Pelangai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Johari Harun dalam nahas pesawat ringan di Elmina, Shah Alam, pada 17 Ogos lalu.
Pilihan raya kali ini menyaksikan Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Amizar Abu Adam dicabar calon Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat dan Haslihelmy.
Pada pilihan raya umum lalu Allahyarham Johari memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan Kasim yang mendapat 3,260 undi; Ahmed Wafiuddin Shamsuri daripada Pakatan harapan (PH) (2,031 undi) dan Isa Ahmad daripada Pejuang (65 undi).