Jawatankuasa khas ditubuh atasi isu warga asing kuasai perniagaan di Nilai 3

Iklan
Aminuddin (tengah) pada sidang akhbar di Wisma Negeri.

SEREMBAN - Warga asing yang dilihat mendominasi perniagaan terutamanya di kawasan Nilai 3 dipercayai disebabkan ada pemilik lesen perniagaan tidak bertanggungjawab menyewakan lesen mereka kepada warga asing.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pihaknya memandang serius perkara itu dan telah mengarahkan satu jawatankuasa khas dibentuk bagi mengenal pasti tindakan bersesuaian boleh diambil bagi mengelakkan ia berterusan.

Iklan
Iklan

"Dari laporan kita, mereka ini ada lesen yang sah tetapi yang menjalankannya adalah warga asing. Mereka sewa lesen tersebut.

"Sepatutnya pemilik perlu duduk di situ (kedai), jadi tauke, tapi hanya letak lesen atas namanya saja dan jika berlaku apa-apa, dia (pemilik) dipanggil dan mengaku dia punya premis, kes selesai. Itu tak sepatutnya berlaku," katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco di Wisma Negeri pada Rabu.

Iklan

Menurutnya, jangan kerana bayaran RM100 sehingga RM1,000 yang diterima hasil menyewa lesen perniagaan menyebabkan sanggup menggadai maruah sendiri.

Tambahnya, jika di negara lain, mana mungkin rakyat mereka membiarkan perkara itu berlaku.

Iklan

"Saya harap rakyat Malaysia khususnya Negeri Sembilan supaya tak dipergunakan golongan ini untuk mereka menghalalkan perniagaan mereka.

"Kita kena jaga negara kita sendiri. Jangan dek RM500 sehingga RM1,000 kita telah terlalai dek 'buaian' yang rasa ini peluang tapi sebenarnya kita menggadaikan maruah kita," katanya.

Sehubungan itu katanya, pihak berkuasa tempatan (PBT) diminta menyemak semula kelulusan lesen yang diberi.

Selain itu katanya, pihak berkuasa khususnya Jabatan Imigresen juga diminta melakukan pemantauan secara berkala terhadap kehadiran warga asing di situ termasuk di kawasan lain terutamanya untuk memastikan mereka bekerja menggunakan permit yang betul.

Ini kerana ujarnya, kemungkinan ada warga asing menyalahgunakan permit pekerja mereka dengan bekerja di sektor lain.

"Kalau mereka masuk negara ini dengan permit bekerja di sektor pertanian, tak seharusnya ada di kedai runcit dan ini harus diberi perhatian serius oleh pihak berkuasa.

"Kita tidak mahu ia jadi isu yang tak boleh dikawal pada masa akan datang," katanya.

Tambahnya, lebih mengejutkan kelompok peniaga warga asing tersebut seolah-olah cuba menguasai kawasan perniagaan di Nilai 3 apabila menubuhkan persatuan menggunakan nama negara mereka sendiri.

Malah kata Aminuddin, berdasarkan video yang tular ada segelintir daripada mereka yang dilihat agak melampau dan keterlaluan seolah-olah mencabar undang-undang negara ini.