KUALA TERENGGANU - Rakyat di Terengganu boleh berperanan sebagai pengkritik bagi memastikan sistem semak dan imbang dalam pentadbiran kerajaan berjalan dengan baik meskipun tanpa kehadiran pembangkang pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Menteri Besarnya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri berkata, ini kerana semua rakyat mampu memberi pandangan, ulasan dan kritikan menerusi pelbagai medium baharu terutama media sosial pada pada zaman serba baharu dan canggih ini.
Bagaimanapun Ahmad Samsuri berkata, semua pihak termasuk wakil rakyat dan anggota pentadbiran perlu berlapang dada menerima teguran walaupun adakalanya kritikan tersebut jauh tersasar daripada fakta sebenar.
"Elemen 'check and balance' di alaf baharu ini tentunya tidak sama dengan zaman lampau di mana rakyat boleh menjadi pemberi cadangan, ulasan dan kritikan menerusi medium baharu yang wujud siang dan malam, 24 jam sehari.
"Dalam bahasa anak muda zaman sekarang disebut jangan cepat koyak," katanya dalam ucapan penggulungan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di sini, pada Rabu.
Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata, walaupun tanpa kehadiran pembangkang, sistem semak dan imbang juga sudah lama wujud menerusi undang-undang iaitu pengasingan kuasa antara eksekutif, legislatif dan judisiari.
Menurutnya, sebagai wakil rakyat atau pemimpin yang diberi amanah oleh rakyat, sistem semak dan imbang paling berkesan adalah berpegang teguh kepada prinsip keadilan dan ajaran Islam.
"Kemenangan besar Pas 8-0 di Parlimen dan 32-0 di Terengganu perlu dilihat dengan kacamata keinsafan dan bukan lesen untuk berbuat sewenang-wenangnya.
"Paling penting ialah semua peringkat kepimpinan daripada bawah hingga ke Menteri Besar hendaklah melaksanakan tugas dengan adil tanpa mengira fahaman politik rakyat," jelasnya.
Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu yang berlangsung sejak Selasa lepas ditangguhkan pada satu tarikh yang akan ditetapkan kelak.