BENTONG - Pelbagai bentuk kempen dilakukan oleh calon-calon terutama calon Barisan Nasional (BN) bagi memeriahkan dan memenangi hati pengundi sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.
Di Felda Kemasul, penduduk teruja apabila buat pertama kalinya melihat sendiri ragam tok dalang di depan mata yang dipersembahkan oleh Kumpulan Padang Asun dari Jitra, Kedah.
Iklan
Iklan
Antaranya, seorang pekerja kilang sawit, Hishamudin Amad, 53, meluahkan perasaan gembira kerana berpeluang merasai pengalaman menyaksikan persembahan wayang kulit secara langsung.
"Selama ini hanya tahu dan dengar sahaja tapi bukan depan mata, malam ini berpeluang sendiri dan keluarga pun turut seronok lihat wayang kulit," ujarnya.
Seorang suri rumah, Norhazwana Mohd Arshad, 38, turut berkongsi perasaan teruja dan mengakui turut seronok kerana berpeluang melihat persembahan tersebut.
"Rupanya seronok juga persembahan wayang kulit dan nasib baik loghat yang digunakan mudah difahami," kata wanita tersebut yang berasal dari Selangor dan menetap bersama suaminya di Felda Kemasul.
Persembahan wayang kulit itu antara tarikan dan kelainan yang dibawa sepanjang kempen PRK kali ini.