Malaysia, Arab Saudi bincang jadikan Malaysia hab transit jemaah umrah

Iklan
Malaysia dan Arab Saudi telah mengadakan perbincangan berhubung usaha menjadikan Malaysia sebagai hab transit pilihan untuk jemaah umrah yang melakukan perjalanan ke Arab Saudi, melalui KLIA. - Gambar hiasan

PUTRAJAYA - Malaysia dan Arab Saudi telah mengadakan perbincangan berhubung usaha menjadikan Malaysia sebagai hab transit pilihan untuk jemaah umrah yang melakukan perjalanan ke Arab Saudi, melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Perkara itu dibangkitkan semasa mesyuarat antara Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Malaysia, Datuk Roslan Tan Sri Abdul Rahman serta ketua pegawai eksekutif Lembaga Pelancongan Saudi, Fahd Hamidaddin, di luar sambutan Hari Pelancongan Sedunia (WTD) tahunan di Riyadh, Arab Saudi baru-baru ini.

Iklan
Iklan

MOTAC dalam kenyataan pada Rabu berkata, mesyuarat itu membincangkan bidang-bidang yang dilihat berpotensi untuk kerjasama antara Malaysia dan Arab Saudi bagi manfaat bersama, khususnya berkaitan usaha kerajaan untuk meletakkan Malaysia sebagai hab transit pilihan bagi jemaah umrah yang melakukan perjalanan ke Arab Saudi melalui KLIA.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing pada 18 Julai lepas berkata, MOTAC yakin inisiatif bagi menjadikan Malaysia sebagai hab serantau bagi jemaah umrah akan dapat memacu dan melonjakkan industri pelancongan negara.

Iklan

King Sing berkata, Malaysia juga boleh menawarkan pakej pelancongan mesra Muslim kepada jemaah haji yang secara tidak langsung dapat meningkatkan pendapatan negara dan memperkenalkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan Muslim global. - Bernama

Iklan