IPOH - Kerugian akibat jenayah komersial di Perak merekodkan lebih RM77 juta bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, jumlah itu melibatkan 2,179 kes yang dilaporkan, meningkat berbanding 2,053 kes dalam tempoh sama, tahun lalu.
Menurutnya, antara kes yang mencatatkan kerugian tertinggi membabitkan modus operandi jual beli dalam talian, phone scam, pelaburan, tawaran kerja dan pinjaman tidak wujud.
"Bagi tempoh Januari hingga September ini, kita telah berjaya membuat tangkapan ke atas 1,096 orang yang terlibat dalam kesalahan tersebut dengan sebahagian besarnya merupakan pemilik akaun-akaun keldai," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, hasil operasi berterusan, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Kontinjen Perak turut berjaya mematahkan sindiket tipu nombor ramalan dan ejen pencari akaun keldai.
Katanya, tangkapan ke atas beberapa individu dipercayai along yang melakukan perbuatan khianat seperti simbah cat dan ugutan kepada pemimjam juga berjaya dilakukan.
"Bagi kes ini, sebanyak 764 pertuduhan telah dijalankan terhadap tangkapan sejak Januari hingga bulan lalu," katanya.
Sementara itu, Mohd Yusri berkata, usaha pencegahan dan kesedaran telah digerakkan melibatkan 858 aktiviti dan program di seluruh negeri melalui pelbagai platform seperti kempen, ceramah, syarahan, sembang santai, pameran media sosial dan cetak.
Jelas beliau, meskipun pelbagai program pencegahan dijalankan, masih ramai yang menjadi mangsa terhadap penipuan tersebut kebanyakannya golongan profesional, warga emas, pesara dan wanita.
"Orang ramai perlu lebih berhati-hati apabila menerima panggilan daripada mana-mana pihak yang meminta membuat bayaran, transaksi di mesin juruwang automatik (ATM), memberi kod pengesahan transaksi (TAC) atau maklumat peribadi.
"Selain mendapatkan maklumat di media sosial mengenai taktik terkini 'scammer', orang ramai juga dinasihatkan membuat semakan dan pengesahan dengan pihak berkuasa, bank atau agensi berkaitan melalui talian rasmi atau bersemuka," katanya.