KUALA LUMPUR - Hanya dua daripada 68 stesen pengawasan kualiti udara di seluruh negara merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat iaitu di Sri Aman dan Serian, Sarawak setakat 4 petang ini.
Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Shafe’ee Yasin berkata, daripada jumlah keseluruhan itu juga, sebanyak enam stesen mencatatkan bacaan IPU pada tahap baik dan 59 stesen merekodkan bacaan tahap sederhana.
"Di Sri Aman bacaan IPU adalah 142 manakala Serian merekodkan bacaan 102. Keadaan jerebu pada hari ini didapati lebih baik berbanding hari sebelumnya, tiada bacaan IPU tidak sihat direkodkan di kebanyakan kawasan di Pantai Barat Semenanjung Malaysia dan Lembah Klang.
"Kerajaan akan mengambil tindakan berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) sekiranya bacaan IPU ini bertambah teruk. Kementerian dan setiap agensi terlibat akan mempertingkatkan usaha pencegahan terhadap aktiviti pembakaran terbuka yang mampu menyebabkan jerebu di peringkat tempatan,” katanya pada program Malaysia Petang Ini, terbitan Bernama TV pada Rabu.
Mengulas mengenai kejadian jerebu di Malaysia ketika ini, beliau berkata, kehadiran zarah-zarah halus PM10 dan PM2.5 yang berpunca daripada sumber semula jadi dan aktiviti antropogenik dilihat antara faktor penyumbang kepada fenomena ini.
"Antara langkah yang telah dilakukan JAS adalah meningkatkan bilangan rondaan dan pemantauan di kawasan berisiko berlakunya kebakaran terbuka, pemantauan kawasan kebakaran menggunakan dron dan tindakan kompaun di bawah Seksyen 29(A) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya.Bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan paras baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.
Semalam, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) yang menyenaraikan tindakan agensi berkaitan termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) telah diaktifkan dalam pengurusan jerebu.
Beliau juga berkata Operasi Pembenihan Awan (OPA) dalam negara juga akan dilakukan sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 150 bagi tempoh melebihi 24 jam. - Bernama