Saman kenderaan parkir depan rumah: PBT jangan tekan rakyat

Iklan
Notis pemberitahuan PBT yang menyatakan larangan meletakkan kenderaan di hadapan rumah (luar pagar) yang boleh menyebabkan halangan di tempat awam. Gambar kanan: Abdul Halim
JOHOR BAHRU - Keputusan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini yang mahu menyaman kesalahan meletakkan kereta di hadapan rumah sendiri atau rumah jiran disifatkan sebagai tidak sensitif malah menambah beban rakyat yang sedang bergelut dengan kos sara hidup.

Setiausaha UMNO Johor, Datuk Abdul Halim Suleiman berkata, langkah tersebut juga tidak kena pada masanya sekali gus keputusan berkenaan menimbulkan tanda tanya tentang motif sebenarnya.

"Saya tak boleh nak hadam dengan cara mentaliti segelintir PBT yang tak cakna dengan kehidupan rakyat. Ketika ramai berdepan dengan peningkatan harga barang dan kos sara hidup, apa pula PBT yang nak cari pendapatan dengan cara mudah.

"Apa tujuan sebenarnya? Nak cari pendapatan ke? Nak dapat duit cara mudah? Cubalah PBT ni cari sumber pendapatan dengan cara lain yang tak menyusahkan rakyat terutamanya golongan B40," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Pada Rabu tular satu notis pemberitahuan dari Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) yang menyatakan larangan meletakkan kenderaan di hadapan rumah (luar pagar) yang boleh menyebabkan halangan di tempat awam.

Dalam notis pemberitahuan itu, tindakan boleh diambil atas kesalahan dibawah Seksyen 48 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 332), Seksyen 46 (1) (9) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133), Undang-undang kecil 3 (n) Unda g-undnag kecil vandalisme (Majlis Bandaraya Pasir Gudang) 2011 dan Perintah 17(1) dan 17(2) Perintah Lalulintas Jalan (peruntukan mengenai tempat letak kereta) Pihak Berkuasa Tempatan Pasir Gudang 2001.

Notis yang dikeluarkan dalam Facebook MBPG di bawah arahan Datuk Bandar Pasir Gudang itu juga menyatakan tindakan mengkompaun kesalahan serta-merta boleh dikenakan di bawah Undang-undang kecil mengkompaun kesalahan Akta Kerajaan Tempatan (MPPG) 2010 dengan kadar maksimum kompaun RM500.

Dan dibawah Undang-undang kecil jalan, parit dan bangunan (mengkompaun kesalahan-kesalahan MPPG) 2011 dengan kadar maksimum kompaun RM2,000.

Mengulas lanjut, Halim yang juga Ketua UMNO Bahagian Tebrau berkata, tindakan PBT terbabit yang hendak melaksanakan tindakan tersebut dilihat tidak prihatin dengan kehidupan rakyat, sepatutnya menumpukan isu besar lain, fokus tambah baik sistem pentadbiran dan tata kelola, tumpu cekapkan lagi perkhidmatan serta isu-isu kependudukan dan keselesaan rakyat.