MA63: PM ucap terima kasih ADUN PH Sabah tarik saman

Iklan
Anwar
KOTA KINABALU - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan penghargaannya kepada sebahagian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) Sabah yang telah menarik saman kepada kerajaan Persekutuan berhubung pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menurutnya, usaha untuk melaksanakan janji yang dimeterai dalam MA63 dilakukan oleh kerajaan pimpinannya dengan sedaya upaya.

"Baru-baru ini ADUN-ADUN sebahagian daripada PH telah mencabar kerajaan dalam isu pelaksanaan MA63.

"Saya ucap terima kasih kerana mereka telah menarik saman terhadap kerajaan Persekutuan kerana sejak kita ambil alih kerajaan, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor sedia maklum saya telah arahkan sedaya upaya kita untuk melaksanakan apa yang kita janjikan.

Beliau berkata demikian ketika berucap bagi merasmikan Konvensyen Pengurusan Hal Ehwal Islam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Rabu.

Beliau dalam pada itu turut memberi jaminan bahawa kerjasama erat dengan kerajaan negeri akan diteruskan.

"Saya akan beri jaminan, hubungan dan kerjasama erat dengan sahabat saya Datuk Seri Hajiji kita akan terus meningkatkan usaha dan mendengar apa-apa langkah lain yang dinyatakan.

"Jadi sekali lagi saya berterima kasih dengan rakan-rakan ADUN yang menarik balik saman supaya kita boleh menjalin kerjasama dan meningkatkan usahasama," katanya.

Baru-baru ini menerusi satu kenyataan, 12 ADUN PH Sabah menarik balik saman pemula (OS) bagi mendapatkan satu perintah mahkamah supaya kerajaan Persekutuan memperakui dan memberikan hak-hak Sabah yang termaktub dalam perlembagaan.