[DIKEMAS KINI] PENGENDALI skuad bola sepak Piala Raja Muda Selangor Edisi Ke-34, Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Alam Megah, Mohamad Zool Hilmy Mohd Yusof memuji semangat juang tinggi para pemain ketika berdepan pasukan pilihan SK Seksyen 20 dalam perlawanan akhir di padang Latihan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS).
Malah, Mohamad Zool Hilmy mengakui warga SK Taman Alam Megah juga berbangga dengan pencapaian bergelar naib juara kejuaraan bola sepak peringkat bawah 12 tahun tersebut.
"Alhamdulillah... sangat berbangga dengan semangat juang pemain-pemain SK Taman Alam Megah yang tenang dan sabar melaksanakan perancangan taktikal dalam menyekat penguasaan SK Seksyen 20.
"Pemain-pemain SK Taman Alam Megah juga mencipta deretan peluang keemasan menjaringkan gol tetapi gagal menterjemahkan setiap peluang dalam bentuk jaringan.
"Secara keseluruhannya pada edisi ke-34 kali ini banyak perubahan ketara yang dapat diubah kepada pemain-pemain pemain dalam memahami prinsip permainan bola sepak secara individu mahupun cara bermain berpasukan.
"Selepas ini SK Taman Alam Megah akan kembali berfokus kepada program pembangunan bola sepak bawah umur 10 tahun, selain melaksanakan klinik bola sepak lelaki dan perempuan,” katanya.
Terdahulu hasrat anak-anak buah Mohamad Zool Hilmy untuk mencipta kejutan ke atas pasukan pilihan SK Seksyen 20 dalam perlawanan akhir tidak kesampaian apabila tewas 0-2 dalam perlawanan akhir di Padang Latihan FAS pada Selasa.
SK Seksyen 20 yang tampil dengan reputasi pasukan pilihan menjuarai kejuaraan peringkat umur bawah 12 tahun itu bermula garang apabila agresif memburu gol awal.
Hasilnya, SK Seksyen 20 kendalian Nik Juhaidi Tarmizi Juhari dan Mohd Fazdli Baharudin berjaya memimpin 25 minit separuh masa pertama hasil jaringan pemain Muhammad Nazhaizal Qusyairi Muhamad Nazeri pada minit ke-22.
Separuh masa kedua, SK Taman Alam Megah yang menyingkirkan penyandang juara SK Seri Selangor, 1-0 dalam separuh akhir, berusaha kembali dalam permainan, namun ketumpulan jentera penyudah menjadi halangan terakhir pasukan berstatus The Giant Killer tersebut.
SK Seksyen 20 yang tampil lebih berdisiplin kemudian melebarkan jaringan menerusi gol Afif Ikhwan Muhammad Zuhdi pada minit ke-32 untuk kedudukan 2-0.
SK Seksyen 20 sebelum itu mara ke perlawanan akhir selepas membelasah SK Puchong 6-0 dalam perlawanan separuh akhir.
Kemenangan itu menyaksikan SK Seksyen 20 membawa pulang trofi, medal dan RM4,000, manakala SK Taman Alam Megah pula menerima medal dan RM3,000.
SK Seksyen 20 juga meraih kegembiraan berganda apabila merangkul dua anugerah iaitu Anugerah Penjaga Gol Terbaik milik Que Aisy Mikail Muhammad Khairul Anuar manakala Anugerah Pemain Terbaik milik Muhammad Nazhaizal Qusyairi.
Tempat ketiga pula milik SK Puchong yang membawa pulang RM2,000 selepas menewaskan SK Seri Selangor (RM1,000), 1-0 bagi penentuan tempat ketiga keempat.
Edisi ke-34 yang menyingkap tirai 11 September lalu menyaksikan penyertaan 32 pasukan sekolah di bawah Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Petaling Perdana dan Petaling Utama mendapat tajaan Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS Berhad).
Edisi kali ini juga melibatkan 640 pemain berusia bawah 12 tahun dianjurkan secara liga dengan dua pasukan terbaik daripada setiap kumpulan layak ke pusingan 16 terbaik sebelum ke suku akhir, separuh akhir dan akhir.