SHAH ALAM - Persatuan Hotel Malaysia (MAH) meminta kerajaan untuk mempertimbangkan beberapa perkara bagi penambahbaikan perkhidmatan industri perhotelan dan pelancongan dalam pembentangan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MAH, Isaac Raj berkata, antaranya ialah mengurangkan Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) yang dianggap masih mahal kerana ia menyebabkan kos operasi perhotelan menjadi tinggi.
"Kadar elektrik meningkat 0.04 sen kepada 0.20 sen pada 2023 namun tiga bulan lalu, menurun tiga sen menjadi 0.17 sen.
"Meskipun ada penurunan namun ketidaktentuan kadar itu akan menyukarkan kami kerana industri baharu sahaja pulih daripada kesan pandemik Covid-19,” katanya.
Tambah Isaac, pihaknya juga berharap kerajaan dapat memberi potongan harga atau rebat pengambilan lesen dan permit bagi memudahkan pihak mereka menjalankan operasi.
"Ia agak merumitkan kerana terdapat lebih 35 jenis lesen perlu dibuat dan menyedihkan apabila perniagaan hotel kini diganggu oleh platform penyewaan jangka pendek terutama Airbnb. Ia tidak adil.
"Kerajaan digesa untuk menggubal satu peraturan bagi mengawalnya khusus dari segi keselamatan dan lesen,” ujarnya.
Dalam pada itu beliau berkata, bagi menggalakkan pelancong datang ke negara ini, pihaknya mencadangkan untuk kerajaan melaksanakan visa dalam talian atau percuma.
"Cara ini dapat menarik pelancong dari China dan mereka boleh berbelanja lebih RM6,000. Ia belum termasuk negara lain sekali gus dapat membantu ekonomi negara,” jelasnya.