PIHAK berkuasa sedang giat melaksanakan operasi peraturan jalan raya dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan serta kehilangan nyawa.
Usaha ini perlu dan wajib disambut baik oleh semua lapisan masyarakat.
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melaksanakan Operasi Khas Motosikal 2023 selama sebulan bermula 1 September lalu di seluruh negara susulan peningkatan kes kemalangan.
Pengarah Kanan Penguat kuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan dilaporkan berkata, berdasarkan data diterima pihaknya dari Januari sehingga Mei, terdapat peningkatan secara bulanan kes kemalangan di seluruh negara.
Dalam tempoh lima bulan itu, kadar kematian direkodkan adalah seramai 2,672 orang dengan hampir 70 peratus membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal.
Bukan setakat JPJ, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) turut melaksanakan beberapa siri operasi.
JSPT Kuala Lumpur telah melaksanakan Op Hormat Undang-Undang fasa satu dan dua di sekitar ibu kota.
Operasi penguatkuasaan yang lebih tegas itu memfokuskan tujuh jenis operasi iaitu Op Parkir Haram, Op Halangan, Op Lampu Merah, Op Nombor Pendaftaran, Op Cermin Gelap, Op Motosikal dan Op Didik.
Selain itu, JSPT turut melaksanakan Op Khas Kenderaan Perdagangan pada September lalu dengan kerjasama JPJ, Agensi Antidadah Kebangsaan dan Jabatan Alam Sekitar.
Pelaksanaan operasi ini bukan untuk membebankan pengguna jalan raya, sebaliknya mahu mengesan pesalah yang boleh menjadi penyebab kemalangan kepada pengguna jalan raya lain.
Berdasarkan tinjauan Sinar Harian yang menyertai operasi terbabit, ada pemilik yang sengaja ubah suai motosikalnya terlalu ekstrem antaranya menanggalkan brek belakang dan menggunakan tayar sotong yang tidak selamat.
Bahkan, ada juga lori yang membawa melebihi muatan dan pandu bas tanpa lesen memandu.
Terdapat juga kes di mana penunggang motosikal bertindak merempuh sekatan jalan raya kerana turut memiliki rekod jenayah dan dadah.
Kesimpulannya, operasi yang dijalankan oleh pihak berkuasa adalah langkah yang berkesan untuk mendidik pengguna jalan raya menjadi lebih berdisiplin di jalan raya dan mencegah jenayah-jenayah lain.