TAPAH - Pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CRV yang disyaki terbabit dalam kes buli jalan raya di Lebuhraya Utara-Selatan yang videonya tular di media sosial telah ditahan polis.
Penahanan terhadap lelaki berusia 37 tahun itu dibuat pada Rabu sekitar jam 8 malam selepas hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Mohd Naim Asnawi berkata, laporan polis berkaitan kejadian itu telah dibuat mangsa iaitu seorang lelaki berusia 32 tahun jam 4.51 petang pada Selasa.
"Siasatan dilakukan mendapati, kejadian itu berlaku pada Selasa jam 1.30 petang di Kilometer 318 Lebuhraya Utara Selatan arah utara dekat Tapah.
"Polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi kes itu," katanya dalam kenyataan kepada pemberita pada Rabu.
Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik IPD Tapah, Inspektor P Prathiparaj di talian 014-6178095 bagi membantu siasatan.
"Pengguna jalan raya diingatkan lebih berhati-hati dan bertimbang rasa semasa memandu kenderaan supaya tidak membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain," katanya.
Rakaman video berdurasi dua minit itu tular selepas dimuat naik di platform media sosial X.
Menerusi rakaman itu, sebuah SUV berwarna putih jenis Honda CRV didapati dipandu berbahaya dan melulu dengan secara mengejut menekan brek dan menukar lorong tanpa signal.