KOTA BHARU - Kuih tradisi berasal dari Thailand, Apam Lambong Telur semakin popular di Kelantan dan laris dijual seorang peniaga mencecah hingga 500 butir pada setiap hari.
Kuih itu hanya boleh didapati di beberapa lokasi antaranya Pasar Kubang Pasu, Kampung Cina dan Dataran Muhammadi di daerah ini.
Seorang jurujual Apam Lambong Telur, Mariyam Samael, 24, berkata, bersesuaian dengan namanya kuih apam itu dihasilkan dari adunan tepung gandum dan telur yang dilambung ketika proses memasak untuk mengeluarkan serta menterbalikkannya daripada acuan berbentuk kuih bahulu.
Menurutnya, setiap satu adunan Apam Lambong Telur menggunakan sebiji telur dan rasanya akan lebih enak serta gebu jika telur ayam itu digandakan dua.
"Apam ini dimakan dengan cara ditaburkan kelapa muda parut yang digaul bersama sedikit garam dan gula sebelum digulung menjadi satu hidangan.
"Tambah menyelerakan apabila kelapa parut dalam gulungan Apam Lambong Telur yang panas itu terkukus dengan sendiri,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Pasar Kubang Pasu di sini, pada Rabu.
Menurut Mariyam, kemahiran melambung apam dari acuan panas itu dipelajari daripada abang iparnya, Amin Mat, 35, dan perlu dilakukan dengan berhati-hati bimbang terkena tangan atau melecur.
Ujarnya, memasak Apam Lambong Telur memerlukan teknik seperti mengawal api dan menyapu minyak secukupnya bagi mengelak adunan melekat pada acuan.
"Kalau api terlalu besar, apam boleh hangit manakala jika api terlalu kecil pula adunan boleh melekat pada acuan menyebabkan tidak dapat dilambung.
"Sekarang ini, apam ini sudah dijual di banyak tempat dan ada yang diubah suai rasanya dengan meletakkan sapuan berperisa coklat, strawberi dan mentega kacang,” kata Mariyam.