Ketat kawalan keselamatan di kawasan tumpuan pelancong

Iklan
Siam Paragon di Bangkok dianggap pusat beli-belah paling ikonik dalam kalangan pelancong asing.

SELAIN jerebu yang melanda negara, rakyat dikejutkan dengan tragedi tembakan rambang yang berlaku di pusat beli-belah Siam Paragon, Bangkok, Thailand pada Selasa.

Tragedi tersebut menyebabkan sekurang-kurangnya tiga maut manakala empat dilaporkan mengalami kecederaan akibat tembakan dalam kejadian yang berlaku pada jam 4.50 petang waktu tempatan.

Iklan
Iklan

Pihak berkuasa telah menahan seorang suspek yang berusia 14 tahun susulan kejadian itu yang dikatakan keliru serta fikirannya bercelaru semasa disoal siasat.

Ketua Polis Thailand, Torsak Sukvimol berkata, remaja tersebut mendakwa berbuat demikian selepas mendapat arahan daripada individu yang menyerupai dirinya.

Iklan

Torsak turut memaklumkan suspek adalah pesakit mental di Hospital Rajavithi dan tidak lagi mengambil ubat-ubatan yang diberikan kepadanya.

Pastinya, ramai yang terkesan dan trauma akibat peristiwa tersebut terutama pelancong-pelancong yang datang ke Thailand untuk makan angin atau urusan perniagaan.

Iklan

Ia juga secara langsung menjejaskan kehadiran pelancong luar ke Thailand pada masa akan datang berikutan takut berdepan dengan risiko keselamatan.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin berjanji akan melaksanakan langkah keselamatan tertinggi bagi memastikan keselamatan pelancong asing susulan insiden tragis itu.

Srettha mengarahkan agensi berkaitan seperti polis, Kementerian Pelancongan, Kementerian Luar dan Kementerian Kesihatan Awam untuk menyiasat punca kejadian dan membangunkan langkah-langkah untuk mencegah kejadian berulang pada masa hadapan.

Kejadian tembakan besar-besaran jarang berlaku di Thailand, namun ini adalah serangan senjata api ketiga sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Pada 2020, seorang anggota tentera menembak dan membunuh 29 orang dan mencederakan 58 lagi dalam kejadian amuk merentasi empat lokasi di sekitar bandar timur laut Nakhon Ratchasima.

Pada 6 Oktober tahun lepas, 36 orang terbunuh dalam serangan senjata api dan pisau di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di wilayah Nong Bua Lamphu.

Sementara itu, Pakar Keselamatan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Profesor Dr Mohd Mizan Mohammad Aslam berpandangan bahawa aliran pelancong rakyat Malaysia mungkin sedikit terganggu susulan insiden tersebut, namun ia tidak memberi impak yang besar sehingga menjejaskan ekonomi Thailand.

Jelasnya, kerajaan Thailand sudah pasti akan mengambil tindakan drastik untuk mengekang permasalahan seperti ini memandangkan pihaknya sangat bergantung kepada industri pelancongan.

Tentunya, kerajaan Thailand perlu memainkan peranan memperketatkan kawalan keselamatan di semua pusat beli-belah terutamanya kawasan yang menjadi tumpuan pelancong luar.

Tindakan itu penting bagi memastikan keselamatan orang ramai terjaga sekali gus mengelakkan tragedi seperti itu berulang lagi pada masa akan datang.