BENTONG - Calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli didakwa menyeru penyokongnya supaya mengundi calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, Sabtu ini.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mendakwa perkara itu dimaklumkan oleh Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib kepada beliau.
"Calon Bebas dalam PRK Pelangai ini beritahu YB (Yang Berhormat) Maran, dia minta supaya penyokongnya kalau ada sila sokong calon PN.
"Pemberita boleh laporkan, saya bertanggungjawab atas kenyataan ini. Saya tidak akan bercakap kalau tiada bukti. Saksi, YB Maran (yang) beritahu kepada kita," katanya ketika berucap pada ceramah perdana Pelangai Bersedia Berubah di Dataran Purnama di sini, malam Rabu.
Ahli Parlimen Kota Bharu itu menjelaskan calon Bebas masuk bertanding kerusi DUN Pelangai kerana tidak berpuas hati dengan Barisan Nasional (BN) dan UMNO.
"(Kalau) itu keadaannya, jadi atas dasar itu tidak ada sebab untuk pengundi Pelangai, selain memberikan sokongan kepada calon kita Cikgu Kasim Samat. (Kalau boleh) berikan sepenuh undi kepada calon kita. PN adalah parti berintegriti dan parti yang bertanggungjawab," katanya.
Dalam pada itu, Takiyuddin mahu pengundi membuat perubahan dengan memilih calon yang menetap di dalam DUN Pelangai.
"Kita tahu calon kita Cikgu Kasim adalah anak jati Pelangai, bekerja dan bersara di Pelangai. Insya-Allah. Jadi, pengundi di Pelangai sama ada Chemomoi, orang Kemasul atau Kemahal (kena bijak memilih).
"Kalau hendaklah jumpa YB (calon BN) kena ke Kuala Lumpur dan Shah Alam baru boleh jumpa sebab beliau duduk (menetap) di sana. Mahukah rakyat Pelangai kita keadaan seperti ini?" soalnya.
PRK Pelangai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun dalam nahas pesawat di Elmina, Shah Alam, pada 17 Ogos lalu.
Pilihan raya kali ini menyaksikan calon BN, Datuk Amizar Abu Adam dicabar Kasim dan Haslihelmy.
Pada pilihan raya umum lalu, Allahyarham Johari memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 4,048 undi menewaskan Kasim yang mendapat 3,260 undi; Ahmed Wafiuddin Shamsuri daripada Pakatan harapan (PH) (2,031 undi) dan Isa Ahmad daripada Pejuang (65 undi).