JAIPk serbu port ponteng puasa

Iklan
Anggota penguatkuasa JAIPk menunjukkan sebahagian lauk pauk yang dijual seorang peniaga di sebuah pondok di belakang rumahnya untuk dibeli individu tidak berpuasa di Kampung Teluk, Bagan Serai hari ini.

BAGAN SERAI - Helah seorang peniaga menjadikan sebuah pondok di belakang rumahnya sebagai lokasi umat Islam ponteng puasa terbongkar apabila diserbu anggota Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk) dalam satu operasi di Kampung Teluk di sini hari ini.

Serbuan dijalankan 16 anggota penguatkuasa JAIPk meliputi Pejabat Agama Islam Daerah Kerian dan Ipoh membolehkan dua lelaki ditahan dan disaman atas kesalahan makan di khalayak ramai.

Iklan
Iklan

Jurucakap Bahagian Penguatkuasa Pejabat Agama Daerah Kerian (PADK) cawangan Bagan Serai berkata, lokasi premis pondok di belakang rumah penduduk di Kampung Teluk, di sini merupakan salah satu daripada tujuh lokasi premis 'port yak yak yeh' diserbu pihaknya bermula jam 10.30 pagi sehingga 1.30 tengahari tadi.

Menurutnya, bertindak atas maklumat awam, pihaknya mengadakan serbuan di premis pondok belakang sebuah rumah penduduk terbabit setelah dikenal pasti menjual hidangan makanan dan minuman secara terbuka di samping membenarkan pelanggan terdiri orang Islam tidak berpuasa makan di dalamnya.

Iklan

"Setibanya anggota penguat kuasa kami di lokasi itu, kelihatan lebih 20 lelaki beragama Islam tidak berpuasa termasuk beberapa individu berpakaian penjawat awam sedang menikmati makanan dan minuman di dalamnya.

"Sebaik serbuan dibuat, hampir kesemua mereka termasuk tuan kedai melarikan diri ke dalam semak-samun berhampiran pondok itu dengan meninggalkan makanan dan minuman di atas meja.

Iklan

"Namun, pihak kami sempat menahan dua lelaki, masing-masing berusia 19 dan 31 tahun, dan bertindak menyaman mereka di bawah Seksyen 24 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Perak yang memperuntukkan denda RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya," katanya kepada media selepas Ops Ramadan Parlimen Bagan Serai berakhir hari ini.

Anggota penguatkuasa JAIPk mengeluarkan saman kepada dua individu dipercayai tidak menghormati bulan Ramadan dengan makan di khalayak ramai.

Lebih mengejutkan, jurucakap PADK cawangan Bagan Serai itu mendedahkan terdapat segelintir individu dipercayai penjawat awam menggunakan kenderaan pejabat untuk makan di 'port' pondok itu dengan setiap hari premis itu dipenuhi individu ponteng puasa sepanjang bulan Ramadan.

Menurutnya, selain lokasi pondok terbabit, pihaknya turut mengenal pasti sebuah kedai makan di tepi Kolam Bukit Merah, Semanggol yang dipercayai menjadi lubuk 'yak yak yeh' individu tidak berpuasa dengan beroperasi secara separuh pintu tertutup.

"Dalam serbuan di premis kedua itu, kami tidak dapat menahan mana-mana individu makan atau minum di khalayak ramai kerana pemilik premis bertindak menutup sepenuhnya pintu kedai sebelum kami sempat masuk.

"Pemilik premis itu gagal memberi kerjasama untuk membuka pintu premis, namun kami menyedari terdapat ramai individu dipercayai ponteng berpuasa sedang menikmati makanan dan minuman di dalamnya bersandarkan bukti banyak motosikal diparkir di hadapannya," katanya.

Anggota penguatkuasa JAIPk menunjukkan sebahagian lauk pauk yang dijual seorang peniaga di sebuah pondok di belakang rumahnya untuk dibeli individu tidak berpuasa di Kampung Teluk, Bagan Serai hari ini.

Katanya, lokasi serbuan pihaknya turut melibatkan sebuah premis makanan di Kampung Sungai Baru, Selinsing; sebuah kedai mamak di Kampung Dew; kedai makan di Sungai Gedong, Selinsing; dan dua lagi premis di Pusat Bandar Bagan Serai.

Menurutnya, JAIPk dan PADK Kerian akan meneruskan operasi pemantauan port 'yak yak yeh' di seluruh daerah Kerian dari semasa ke semasa bagi menjaga kesucian bulan Ramadan.

"Saya ingin menasihatkan umat Islam terutama peniaga agar lebih menghormati bulan Ramadan dengan tidak melakukan perkara maksiat seperti ponteng puasa atau bersubahat menggalakkan orang lain tidak berpuasa dengan menjual makanan atau minuman secara terbuka lebih awal," katanya.