TEMERLOH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) cawangan Temerloh menyita minyak diesel dan peralatan dianggarkan bernilai lebih RM12,600 hasil serbuan ke atas sebuah stor penyimpanan minyak diesel haram di Kampung Bukit Tingkat, Jalan Lubuk Kawah di sini pada Rabu.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Cawangan Temerloh, Abdul Razak Yahaya berkata, dalam serbuan itu, pihaknya turut menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 35 tahun untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961.
Menurutnya, berdasarkan maklumat awam, anggota penguat kuasa telah menjalankan risikan dan tinjauan selama dua minggu ke atas premis yang dimiliki sebuah syarikat pemborong minyak diesel di sini.
"Premis tersebut disyaki dijadikan stor simpanan barang kawalan itu sebelum dijual ke pasaran.
"Hasil pemeriksaan mendapati premis tersebut tiada dalam senarai alamat stor penyimpanan minyak diesel yang sah bagi syarikat terbabit," katanya melalui satu kenyataan pada Khamis.
Abdul Razak berkata, tindakan telah diambil termasuk menyita bekalan minyak diesel, peralatan dan dokumen berkaitan yang berada dalam premis tersebut untuk tindakan lanjut," katanya.
Beliau berkata, individu atau peniaga diingatkan agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan.