Sanggup berbasikal dari Guinea ke Mesir untuk belajar di Universiti al-Azhar

Iklan
MAMADOU SAFAIOU BARRY sanggup meredah perjalanan dengan sebuah basikal terpakai yang melibatkan tujuh buah negara semata-mata demi menyempurnakan impiannya melanjutkan pengajian di Universiti al-Azhar, Kaherah. -Foto: Reuters

GARA-GARA tidak mampu membeli tiket penerbangan, seorang pemuda Guinea di negara Afrika Barat sanggup berbasikal demi menyambung pengajian di Universiti al-Azhar di Kaherah, Mesir.

Dengan basikal terpakai, Mamadou Safaiou Barry nekad merentasi tujuh buah negara selama empat bulan lamanya demi merealisasikan impiannya untuk mempelajari ilmu Usuluddin di universiti tersohor dalam dunia Islam.

Iklan
Iklan

Menurut laporan portal berita VOA News, ketika perjalanan itu, lelaki berusia 25 tahun tersebut hanya membawa beberapa helai pakaian, lampu suluh dan alatan kecil.

Bayangkan selama 120 hari perjalanan itu, pemuda tersebut terpaksa meredah hutan, padang pasir dan kawasan berkonflik dengan harapan diterima masuk ke universiti berkenaan dan mencari dana untuk membayarnya, demi memenuhi cita-citanya.

Iklan

KESUNGGUHAN yang ditonjolkan oleh Barry membuahkan hasil apabila beliau selamat tiba ke Kaherah bulan lalu dan diterima belajar di Universiti al-Azhar dengan biasiswa penuh. -Foto: Reuters

Berkat kesungguhan dan semangat wajanya, Barry akhirnya sampai juga di Kaherah pada bulan lalu untuk mendapatkan biasiswa penuh ke universiti terkemuka berkenaan.

Iklan

Ketika ditemu bual oleh wartawan pada Ogos lalu di Chad, Barry menyifatkan segala risiko yang dihadapi sepadan dengan ganjaran yang bakal dinikmati.

"Saya terpaksa bertarung,” ungkapnya bersemangat.

Difahamkan, Barry mengayuh basikal kira-kira 100 kilometer setiap hari melalui perjalanan di Mali, Burkina Faso, Togo, Benin dan Niger.

Namun sebaik sahaja tiba di N’Djamena, ibu kota Chad, beliau terpaksa menghentikan perjalanan kerana konflik berterusan di Sudan.

TERNYATA kegigihannya meredah perjalanan panjang akhirnya membuahkan hasil apabila Barry diterima belajar di universiti tersohor dalam dunia Islam. -Foto: Reuters

Bukan mudah sebenarnya untuk mengembara dengan cara berbasikal. Banyak onak dan duri yang terpaksa dilalui anak muda itu.

"Pasukan keselamatan menahan saya selama sembilan hari tanpa tuduhan sebelum dibebaskan dengan bayaran AS$56 (RM265).

"Itu sahaja wang saya untuk sepanjang perjalanan,” katanya dipetik menerusi VOA News.

Lebih memilukan apabila Barry mendedahkan, beliau sering tidur di dalam semak kerana takut orang ramai di bandar-bandar yang menjadi tempat persinggahannya untuk beristirahat.

"Saya fikir, mereka akan mengambil basikal saya dan mencederakan saya,” katanya.

Benarlah, pengembaraan suci untuk menuntut ilmu walaupun berdepan ujian, tetapi akhirnya pasti akan terasa kemanisannya.

BARRY berhasrat untuk mengajar agama selepas tamat pengajiannya kelak. -Foto: Reuters

Rupanya ketika berada di Chad, ada seorang dermawan tempatan terbaca tentang perjalanan Barry dalam talian.

Dermawan itu menawarkan untuk menerbangkan Barry terus ke Mesir bagi mengelakkan pertempuran di Sudan.

Alangkah gembira dan bersyukurnya beliau apabila menerima perkhabaran tersebut.

"Apabila saya pulang ke negara saya, saya ingin menjadi seorang yang mengajar Islam dan memberitahu orang bagaimana melakukan perkara yang baik,” ujarnya.