BENTONG - Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin menafikan hubungan beliau dengan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin kini tegang dan wujud dua kem dalam parti itu.
Menurutnya, semua cerita mengenai hubungan beliau dan Muhyiddin adalah rekaan pihak luar yang mahu lihat berlakunya perpecahan dalam Bersatu termasuk Perikatan Nasional (PN).
"Saya Setiausaha Agung, Tan Sri adalah Presiden, dia lantik saya sebagai setiausaha parti. Kalau tidak suka dia, saya berhenti. Kalau dia tidak suka saya, dia pecat saya, adakah itu berlaku?
"Orang lain buat cerita dan kami baik sahaja, buat kerja dan semua berkempen pilihan raya," katanya ketika ditemui selepas Ceramah Perdana PN Pihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai di Simpang Pelangai di sini, pada Rabu.
Hamzah menambah, cerita beliau tidak sehaluan dengan Muhyiddin tidak logik memandangkan pemilihan Bersatu tidak berlangsung pada masa terdekat selepas ditangguhkan selama 18 bulan.
"Ini mesti orang luar nak buat cerita bukan-bukan, tiada pun cerita tentang ini. Ini sebab cerita pemilihan 18 bulan lagi, apa hal nak cerita pasal perpecahan?" katanya.
Media sebelum ini melaporkan timbul dakwaan wujudnya 'perang dingin' antara Hamzah dan Muhyiddin meskipun pemilihan Bersatu akan diadakan tahun hadapan.
Bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman dilapor berkata, walaupun tiada perbalahan secara terbuka, namun beliau nampak memang wujud pergeseran antara Muhyiddin dan Hamzah kerana pelbagai isu.
Difahamkan, pergeseran itu berlaku kerana Hamzah terasa hati dengan tindakan Muhyiddin yang tidak melibatkan beliau dalam urusan pemilihan calon Bersatu yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.