Terengganu patut bawa pulang tiga mata

Iklan
Nurillo (kiri) ketika bersaing dengan pemain Bali United dalam perlawanan Kumpulan G Piala AFC pada Rabu. - Foto Bali United

TERENGGANU FC disifatkan berhak membawa pulang tiga mata ketika berkunjung menentang kelab Indonesia, Bali United dalam perlawanan Kumpulan G Piala AFC di Stadium Kapten I Wayan Dipta, Gianyar, Bali, pada Rabu.

Itu tegas pengendali Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner selepas menyaksikan deretan peluang dimiliki kelab pantai timur tersebut yang memulakan kempen kejuaraan tahap dua kelab Asia berkenaan di luar Gong Badak, Terengganu yang berakhir dengan keputusan seri 1-1.

Iklan
Iklan

Mengakui sedikit kecewa dengan keputusan perlawanan kedua selepas meraih kemenangan ke atas kelab Australia, Central Coast Mariners sebelum ini, Steinbruckner berkata, dia yakin skuad Penyu mampu membawa pulang tiga mata dari laman kelab Liga Satu Indonesia, Tridatu Warriors tersebut.

"Ya, kita mampu raih keputusan lebih baik terutamanya jika jentera serangan lebih tajam dalam menyempurnakan setiap percubaan dalam perlawanan ini.

Iklan

"Sony (Norde), Nurillo (Tukhtasinov) terutamanya memiliki deretan peluang untuk menjaringkan gol, namun mungkin faktor kecergasan menjadi penghalang kepada mereka untuk lebih menyerlah.

"Kita juga berusaha meningkatkan tekanan selepas menjaringkan gol penyamaan, namun akur dengan satu mata dalam perlawanan di tempat lawan,” katanya selepas perlawanan pada Rabu.

Iklan

Terengganu memulakan kempen saingan Piala AFC di luar Gong Badak dengan rentak positif apabila bangkit mengikat Bali United 1-1.

Pemain import dari Cameroon, Privat Mbarga meletakkan Bali United, asuhan Stefano Cugurra, di depan dengan gol pada minit ke-54.

Gol tercipta selepas pemain import berusia 31 tahun itu menterjemahkan hantaran Jajang Mulyana dalam bentuk jaringan untuk memimpin perlawanan.

Namun begitu asakan konsisten skuad Penyu akhirnya membuahkan hasil apabila gawang pasukan yang kini menduduki tangga lima Liga 1 Indonesia bolos pada minit ke-84.

Pemain gantian, Syahmi Zamri yang menggantikan Adisak Kraisorn membuktikan ketajaman daya pemusnahnya apabila menyudahkan sentuhan Mohammad Nor Hakim Hassan.

Di sebalik itu, pengendali kelahiran Croatia tersebut juga lega apabila pemain-pemain muda yang diturunkan menampilkan persembahan berkualiti dalam perlawanan tersebut.

"Saya tidak ragu-ragu untuk menurunkan pemain-pemain muda yang berkualiti bagi membawa cabaran pasukan dalam kejuaraan berintensiti tinggi ini.

"Ya, pemain muda Terengganu FC semakin berkembang apabila Syahmi yang dibawa masuk membuktikannya dalam perlawanan ini,” katanya.