BENTONG - [DIKEMAS KINI] Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook memuji pandangan jauh dan visi Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein yang menjalinkan hubungan diplomatik dengan China.
Menurutnya, biarpun China ketika itu masih mundur dan berfahaman komunis, namun Malaysia menjadi negara ASEAN pertama menjalinkan hubungan diplomatik pada 1974.
"Hubungan diplomatik ini dimulakan oleh seorang anak Pahang, Perdana Menteri kedua kita. Allahyarham Tun Abdul Razak yang mulakan hubungan dengan China.
"Ini sesuatu yang saya kena tabik kepada Tun Abdul Razak walaupun beliau pemimpin UMNO, tapi ini fakta, ini sejarah... pemimpin negara China pun mengakui kerana visi dan keterbukaan Tun Abdul Razak, kita lebih awal dari Singapura yang hanya jalinkan hubungan pada 1990," kata beliau ketika berucap sempena Pesta Tanglung di Telemong pada Rabu.
Tegas Anthony lagi, hubungan dua hala kedua-dua negara dalam keadaan paling kuat ketika ini..
"Hari ini kita lihat, Perdana Menteri pergi ke PBB, PM kita dihormati, ramai pemimpin datang, syarikat besar dunia datang, dan satu lagi yang sangat rapat dengan masyarakat Cina, hubungan Malaysia dengan China dalam keadaan cukup baik setakat ini.
"Dan kita akan sambut ulang tahun ke-50 tahun hubungan ini pada tahun depan," tambah Ahli Parlimen Seremban itu lagi.
Jelas beliau, sambutan positif diberikan terhadap Perdana Menteri selain penghormatan yang diberikan oleh kerajaan China walaupun Malaysia bukan negara besar.
"Apabila kita pergi ke sana,tengok sambutan yang diberikan oleh negara China terhadap Perdana Menteri.
"Walaupun dah setengah bulan, dua kali lawat dan jumpa Presiden Xi Jinping dan satu lagi projek paling penting, ECRL yang cukup berpusat di Pahang, ini perkara sangat penting untuk negara kita," jelas Anthony.
Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Pengangkutan memberi jaminan projek ECRL akan siap dalam tempoh tiga tahun lagi.
"Pada 1 Januari 2027, kita bakal lihat perkhidmatan kereta api dari Pantai Timur ke Gombak akan dimulakan.
"Ini tanggungjawab saya sebagai Menteri Pengangkutan, hendak pastikan projek ini berjalan lancar kerana ia bukan sahaja penting untuk Malaysia-China tapi demi pembangunan negara," jelas beliau.