ALOR SETAR - Kira-kira 36 pelajar Institut Al-Quran Darul Aman (Iqdar) di Jalan Sultanah di sini mengalami keracunan makanan selepas makan nasi Arab yang dimasak sebuah restoran.
Timbalan Pengarah IQDAR, Mohamad Yusni Yaakob, 150 bungkus nasi yang dihantar pada jam 11 malam tadi itu dan penuntut di situ mengalami gejala sakit perut, muntah dan cirit-birit selepas memakannya pada ketika sahur.
"Sebenarnya juadah nasi Arab lauk ayam dan kambing yang dihantar ini berada di luar pengetahuan pihak pengurusan IQDAR dan kes ini dikesan pada jam 8 pagi hari ini selepas melihat ramai pelajar tidak hadir ke kelas.
"Pada jam 9 pagi, pensyarah menghantar kira-kira 15 pelajar untuk dapatkan rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar. Saya percaya jika nasi itu dimakan pada waktu moreh, kemungkinan besar kejadian ini dapat dielakkan," katanya pada sidang media di Pejabat Pengurusan IQDAR di sini hari ini.
Menurutnya, semua penuntut berusia 18 tahun hingga 21 tahun dan mengambil jurusan Diploma Tahfiz Al Quran dan Al Qiraat itu dilaporkan dalam keadaan stabil dan terkawal.
"Setakat ini 21 pelajar lelaki dan 15 pelajar perempuan mengalami simptom keracunan makanan dan sebahagiannya mendapat rawatan dari kakitangan Jabatan Kesihatan Kedah yang turun ke sini.
"Kami masih belum memaklumkan kejadian ini kepada keluarga dan waris pelajar yang mengalami keracunan kerana keadaan masih terkawal," katanya.
Dalam pada itu, Mohamad Yusni berharap mana-mana pihak luar yang mahu menyampaikan sumbangan makanan sepanjang Ramadan perlu melalui pihak pengurusan terlebih dahulu bagi memastikan kejadian seperti itu tidak berulang lagi.