SHAH ALAM – Negara ASEAN sebulat suara untuk mengutamakan negara anggotanya berhubung soal keselamatan makanan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, perkara itu diputuskan menerusi pertemuan dalam Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai Pertanian dan Perhutanan (AMAF) ke-45.
Menurut beliau, Malaysia telah berbincang mengenai keselamatan makanan dengan menteri dan perwakilan yang hadir dari negara terbabit seperti Vietnam dan Thailand,
"Misalnya dalam negara ASEAN ini kalau berlaku kekurangan, kita harap negara ASEAN lain dapat menampung dengan cepat.
"Kita kalau dengan Thailand, (bekalan) beras dan ayam yang selalunya boleh dapat dengan cepat kerana kedudukan yang dekat. Beras pun begitu.
"Menterinya berkata, selagi ada keupayaan mereka akan jual kepada Malaysia. Vietnam pun sama iaitu mereka akan utamakan ASEAN terlebih dahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan bersama menteri-menteri pertanian ASEAN ke Taman Botani Negara Shah Alam (TBNSA) pada Khamis.
AMAF 2023 yang berlangsung selama lima hari bermula 2 Oktober itu disertai Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.
Lawatan turut disertai delegasi Jepun dan Republik Korea sebagai ahli ASEAN Campur 3 serta Timor-Leste sebagai negara pemerhati ASEAN.
Semalam, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin berkata, Malaysia berharap negara pengeksport utama beras dalam ASEAN, dapat mengutamakan bekalan makanan ruji itu kepada negara anggotanya.
Foong Hin berkata, saranan itu akan dibawa Malaysia dalam sesi perbincangan dua hala sempena AMAF.
"Mungkin pada sesi bilateral, akan dibangkitkan seperti kita mahu mengeratkan lagi hubungan antara dua negara supaya meletakkan keutamaan eksport beras kepada negara anggota ASEAN.
"Itu kita akan buat pada sesi bilateral. Dia bukan secara umumnya kerana bukan semua negara ASEAN ada beras,” ujarnya.