GEORGE TOWN - Keputusan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) menjual tanah seluas 558.96 ekar di Kawasan Perindustrian 2 Batu Kawan (BKIP2) kepada sebuah syarikat, UMECH Construction Sdn Bhd dengan harga RM646.02 juta secara rundingan terus adalah tidak masuk akal.
Ketua Penerangan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Pulau Pinang, Danial Abdul Majeed berkata, banyak persoalan timbul dalam penjualan tanah tersebut dan kerajaan negeri perlu menerangkan dengan lebih jelas kepada rakyat.
Danial turut mempersoalkan tindakan penjualan tanah berkenaan kepada syarikat persendirian tanpa tender terbuka.
"Selain soal cara penjualan tanah yang dibuat secara proses rundingan terus, isu harga tanah yang dijual pada kadar yang sangat rendah juga menjadi persoalan yang perlu dijawab oleh kerajaan negeri.
"PDC menjual tanah tersebut dengan harga sebanyak RM26.53 kaki persegi sedangkan harga pasaran boleh mencecah sehingga RM80 kaki persegi," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Tambah beliau, sebelum ini, PDC mengawal penjualan tanah kawasan perindustrian dan pihak yang berminat perlu memohon kepada PDC untuk disemak secara menyeluruh.
"Apa yang menghairankan, prosedur ini tidak berlaku dalam penjualan tanah di BKIP2. Ini telah mencetuskan tanda tanya ramai pihak yang terkesan dengan keputusan ini.
"Oleh demikian, saya menggesa Pengerusi PDC iaitu Ketua Menteri, Chow Kon Yeow untuk memberi penjelasan secara menyeluruh tentang rasional di sebalik keputusan ini.
"Saya juga menyokong tindakan Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang (PCCC) yang berani untuk mempersoalkan tindakan ini. Rakyat perlu tahu," katanya.
Sebelum ini, Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang membangkitkan isu proses tender penjualan tanah milik kerajaan negeri di Byram, Seberang Perai Selatan selain mempersoalkan mengapa syarikat tempatan dikatakan tidak diberi peluang untuk turut serta dalam proses itu.
Susulan daripada itu, Kon Yeow dalam satu kenyataannya telah mempertahankan urus niaga menerusi rundingan terus yang dimeterai dengan UMECH Construction dengan berkata, PDC telah membawa cadangan projek Taman Perindustrian di Byram ke Expo Dubai 2020 untuk mendapatkan pelabur yang berminat.
Ini kerana katanya, pembangunan kawasan itu berdepan dengan pelbagai halangan terutama faktor lokasinya yang berdekatan dengan tapak pelupusan sampah Pulau Burung, laluan lori-lori sampah, kos penyediaan infrastruktur yang tinggi dan sebagainya.
Kata Kon Yeow, kekangan yang dihadapi itu menyebabkan usaha-usaha promosi menarik pelabur adalah sangat mencabar.
Menurut Kon Yeow lagi, kerajaan negeri telah membuat pengumuman di media dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dalam usaha untuk menarik pelabur dalam dan luar negara untuk projek tersebut.
Beliau berkata, ketika Expo Dubai 2020 UMECH Construction menyuarakan minat untuk melabur dalam projek itu dalam selepas perbincangan, PDC yakin syarikat itu memiliki sumber kewangan untuk melaksanakannya.