Baitulmaqdis perlu kekal seperti sedia ada: Tun M

Iklan
Tun Dr Mahathir Mohamad
BANGKOK – Baitulmaqdis harus kekal seperti sedia ada dan mana-mana negara tidak berhak untuk memutuskan ia harus menjadi ibu negara Israel atau dibahagikan, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Australia juga mahu membahagikan Baitulmaqdis kepada Baitulmaqdis Barat sebagai ibu negara Israel dan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kota Palestin...semua ini hanya akan meningkatkan kemarahan,” katanya selepas menerima ijazah doktor kehormat kepimpinan sosial, perniagaan dan politik daripada Universiti Rangsit di sini, hari ini.

Dr Mahathir berkata demikian sebagai menjawab soalan pewarta Reuters di Bangkok berhubung keputusan Australia mengiktiraf Baitulmaqdis Barat sebagai ibu negara Israel.

Bagaimanapun, negara itu tidak akan memindahkan kedutaannya ke sana sehingga perjanjian damai dicapai antara Palestin dan Israel.

Semasa menghadiri Sidang Kemuncak Asean di Singapura, bulan lalu, Dr Mahathir menzahirkan kebimbangannya dengan rakan sejawatan dari Australia, Jim Morrison, terhadap hasrat negara itu mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

"Kami perhatikan perkataan yang digunakan disusun dengan sangat teliti. Namun, pada pandangan kebanyakan negara Arab, semua ini bukan sesuatu yang mereka boleh terima,” katanya.

Beliau berkata Baitulmaqdis sentiasa berada di bawah Palestin dan mempersoalkan mengapa mereka mengambil usaha untuk membahagikan kota suci itu.

"Mereka tidak berhak...ia bukan milik mereka,” katanya.- Bernama