PUCHONG - Kegiatan persundalan di sebuah premis pelacuran di Jalan Puchong, di sini, yang dipercayai menggunakan gari bagi menarik minat pelanggan dibongkar.
Gari tersebut ditemui di kaunter dengan beberapa barang lain dipercayai untuk tujuan kegiatan tidak bermoral.
Perkara itu terbongkar menerusi serbuan Ops Noda dengan tertangkapnya tujuh wanita warga Vietnam oleh sepasukan polis Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, malam tadi.
Pegawai Turus D7 Selangor, Deputi Superintendan Azmi Syukor berkata, serbuan kira-kira jam 11 malam itu turut ditahan dua lelaki warga tempatan dipercayai pelanggan.
"Polis turut merampas jadual kerja, kondom, minyak pelincir, tuala, telefon bimbit dan wang tunai RM800.
"Siasatan awal mendapati premis ini dipercayai menawarkan khidmat dengan harga sehingga RM160," katanya kepada pemberita di lokasi serbuan.
Azmi berkata, semakan juga mendapati premis terbabit beroperasi sejak sebulan lalu tanpa lesen.
Katanya, premis yang berselindung di sebalik pusat refleksologi itu hanya membenarkan pelanggan yang dikenali sebelum dibenarkan masuk sebagai langkah kononnya bagi mengelakkan diserbu pihak berkuasa.
"Kesemua tangkapan dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang untuk siasatan lanjut.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan, Peraturan 39b Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen dan Seksyen 55(B) Akta Imigresen," katanya.