FOKUS Kedah Darul Aman (KDA) FC kini beralih kepada mengejar kedudukan kedua Liga Super 2023 selepas tersingkir daripada saingan Piala Cabaran 2023.
Tewas 0-3 kepada Kuching City pada suku akhir kedua di Stadium Darul Aman pada malam Rabu menyaksikan mereka tersingkir dengan agregat 0-4 kepada skuad kendalian bekas jurulatih mereka, Aidil Sharin Sahak.
Pengendali KDA FC, Nafuzi Zain berkata, rentak permainan mereka diakui mula terjejas selepas terpaksa bermain 10 pemain berikutan Mohd Akmal Zahir diarahkan keluar padang selepas mengutip kad kuning kedua pada minit ke-32 perlawanan.
"Kesungguhan yang ditunjukkan oleh Kuching City pada dua perlawanan suku akhir ini melayakkan mereka untuk mara ke peringkat seterusnya.
"Keinginan dan motivasi ditunjukkan oleh lawan lebih daripada kita, kesilapan telah memberikan gol kepada lawan dan kad merah yang diberikan sedikit mengganggu walaupun kita telah berusaha untuk mencari gol.
"Kita sudah terkeluar jadi kita ada lagi baki saingan Liga Super. Kita akan fokus sebab peluang kita masih ada di situ," katanya pada sidang akhbar di Stadium Darul Aman pada malam Rabu.
Nafuzi mengakui rentak permainan anak buahnya dilihat agak perlahan pada perlawanan tersebut berbanding kemenangan yang diraih ke atas Kuala Lumpur City pada aksi Liga Super baru-baru ini.
Menurutnya, pelbagai faktor lain juga perlu turut dilihat antaranya persediaan mental, pemulihan kecederaan dan fokus pemain itu sendiri menghadapi satu-satu perlawanan.
"Sebelum ini lawan KL City dan menang dalam satu jangka masa yang dekat, persembahan bertenaga dan baik. KL City antara pasukan terbaik dalam liga.
"Lawan Johor Darul Tazim juga sebagai contoh (dapat beraksi baik) dari segi fokus. Mungkin lain lawan lain tekanannya. Malam ini kita nampak kita agak perlahan," ujarnya lagi.
KDA FC selepas ini akan menerima kunjungan Negeri Sembilan bagi aksi Liga Super di Stadium Darul Aman pada 28 Oktober.