BENTONG -"Nak datang boleh tapi jangan buat fitnah." Demikian kata calon Barisan Nasional (BN), Datuk Amizar Abu Adam yang mengalu-alukan kedatangan mana-mana pemimpin lawan ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.
Amizar berkata ketika diminta mengulas pecutan akhir kempen Perikatan Nasional (PN) termasuk kehadiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Dr Mahathir dijadualkan sepentas dengan pemimpin-pemimpin gabungan parti pembangkang itu sempena ceramah 'grand finale’ pada Jumaat.
Bagaimanapun, Amizar berharap kedatangan pemimpin-pemimpin lawan tidak menyebarkan fitnah atau memburukkan mana-mana pihak.
Dari sudut positif, beliau menjelaskan kedatangan ramai pihak turut membantu memberikan rezeki kepada penduduk di Pelangai.
"Ini negara demokrasi... sesiapa nak datang sangat bagus... sekurang-kurangnya ekonomi Pelangai naik bila orang datang beramai-ramai ke sini.
"Terima kasih... datanglah kerana penduduk Pelangai, restoran-restoran dapat pendapatan, alhamdulillah," kata beliau.