IPOH - Tribunal Antigangguan Seksual yang dibentuk menerusi Akta Antigangguan Seksual 2022 akan dianggotai seramai 10 orang panel.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pihaknya baharu mendapatkan kelulusan untuk perjawatan bagi keanggotaan tribunal tersebut.
"Setakat ini kita baru sahaja dapat kelulusan untuk mendapatkan perjawatan, selepas dapat jawatan terdiri daripada dua kategori iaitu admin dan perundangan, kita kemukakan kepada kewangan. Pihak kewangan sedang meneliti kos melibatkan kadar gaji dan sebagainya.
"Keanggotaan tribunal ini melibatkan 10 orang ahli. Selepas ini kita akan iklankan jawatan kemudian kita juga minta Jabatan Peguam Negara bantu kita dari segi perundangan," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Jerayawara Kasih KPWKM@Advokasi Antigangguan Seksual Negeri Perak di sebuah hotel di sini pada Khamis.
Hadir sama pada majlis itu, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Salbiah Mohamed.
Pada Julai lalu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memaklumkan pihaknya akan memuktamadkan pembentukan tribunal berkaitan Akta Antigangguan Seksual 2022 (Akta 840) selewat-lewatnya Disember tahun ini.
Sementara itu, Nancy memaklumkan sejak program jelajah advokasi Antigangguan Seksual diadakan, jumlah laporan mengenai gangguan seksual melibatkan lelaki semakin meningkat.
"Cuma setakat ini kita belum kategorikan mereka ini. Jumlah keseluruhan kes gangguan yang diterima melibatkan lelaki dan wanita sebanyak 763 dari tahap rendah, sederhana dan tinggi. Tiada kes diterima untuk tahap kritikal," katanya.
Berdasarkan statistik, Kedah mencatat aduan paling tinggi iaitu 160 membabitkan 36 bagi kaum lelaki dan 124 wanita.