Promosikan hutan berkonsep rekreasi, penyelidikan

Iklan
Mohamad bersama delegasi melepaskan 10,000 ekor anak ikan lampam sungai dan ikan terbul di Kolam Nusantara yang dikendalikan oleh pihak DOF. - Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABDUL WAHID

SHAH ALAM - Kawasan hutan berkonsepkan rekreasi dan penyelidikan perlu terus dipromosikan agar ia dapat menarik kehadiran pelancong luar negara.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, potensi untuk menjadikan hutan rekreasi sebagai tumpuan pelancong dapat memberi pulangan besar kepada negara.

Iklan
Iklan

Menurutnya di Malaysia banyak hutan-hutan indah yang mempunyai pelbagai kemudahan bukan sahaja sesuai dikunjungi oleh rakyat di negara ini bahkan menjadi daya penarik kehadiran pelancong asing.

"Saya kagum dengan Taman Botani Negara ini, tempatnya indah. Mereka yang duduk dalam bandar suka menghabiskan masa di tempat seperti ini. Saya rasa promosi kita belum cukup untuk membawa pelancong tempatan dan luar negara ke sini.

Iklan

"Kehadiran menteri, perwakilan dan delegasi pertanian ASEAN beri semangat kepada (pengurusan) taman ini untuk mereka meningkatkan prestasi dan mutu setaraf dengan taman-taman antarabangsa yang lain,” katanya.

Beliau berkata demkian pada sidang media selepas mengadakan lawatan rasmi bersama menteri-menteri pertanian dan perhutanan ASEAN ke Taman Botani Negara Shah Alam (TBNSA) pada Rabu.

Iklan
Mohamad (tengah) bersama delegasi menyempurnakan aktiviti penanaman 14 Pokok Tongkat Ali ketika lawatan ke Taman Botani Negara Shah Alam sempena AMAF ke-45 pada Khamis. - Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABDUL WAHID

AMAF 2023 yang berlangsung selama lima hari bermula 2 Oktober itu disertai Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Lawatan turut disertai delegasi Jepun dan Republik Korea sebagai ahli ASEAN Campur 3 serta Timor-Leste sebagai negara pemerhati ASEAN.

Jelasnya, selain Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC), KPKM juga harus menggunakan saluran media untuk mempromosikan taman ini.

"Dulu kita ada Taman Templer sekarang dah jadi kawasan perumahan begitu juga Tasik Perdana tapi dah terlalu bandar.

"Jadi Taman Botani Negara ini yang dekat dengan Kuala Lumpur dan Shah Alam dengan akses Lapangan Terbang, Sultan Abdul Aziz Shah, (LTSAAS) Subang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) perlu dipromosikan memandangkan ia juga memainkan peranan sebagai pusat penyelidikan,” katanya.

Terdahulu para delegasi dibawa menyaksikan demonstrasi di Laman Padi bagi melihat penggunaan traktor pembajak, transplanter dan dron oleh Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

Selain itu, delegasi turut melepaskan 10,000 ekor anak ikan lampam sungai dan ikan terbul di Kolam Nusantara yang dikendalikan oleh pihak Jabatan Perikanan Malaysia (DOF).

Program kemudiannya disusuli dengan aktiviti penanaman 14 pokok Tongkat Ali di Taman Malaysia yang dikendalikan oleh pihak Jabatan Pertanian Malaysia (DOA).

Mengakhiri lawatan, rombongan telah dibawa ke Rumah Budaya bagi menikmati pemandangan keseluruhan TNBSA secara lebih dekat.