Bukit Rambai catat IPU tidak sihat tertinggi

Iklan
Gambar hiasan.

MELAKA - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Melaka menasihatkan orang ramai agar tidak melakukan pembakaran secara terbuka supaya indeks Pencemaran Udara (IPU) di Melaka tidak bertambah buruk.

Pengarahnya, Rosli Mustafa berkata, ini berikutan IPU di Melaka termasuk Bukit Rambai pada Khamis telah merekodkan bacaan tidak sihat yang paling tinggi dengan paras melebihi 150.

Iklan
Iklan

Menurutnya, JAS Melaka akan terus membuat pemantauan dan melaksanakan rondaan bagi mencegah pembakaran terbuka sekali gus mengawal pencemaran daripada punca tempatan.

"Pada pagi tadi tadi bermula jam 1 pagi IPU Bukit Rambai mula mencatatkan bacaan melebihi 100 iaitu status tidak sihat.

Iklan

"Jadi kita berharap masyarakat tidak membuat sebarang pembakaran terbuka bagi mengelak kesan pencemaran atau jerebu menjadi lebih buruk," katanya dihubungi di sini pada Khamis.

Terdahulu, laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) kendalian JAS menyatakan enam kawasan mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada paras tidak sihat setakat jam 9 pagi ini.

Iklan

Bukit Rambai direkodkan kawasan paling terjejas dengan bacaan IPU 153 diikuti Bandaraya Melaka (146), Port Dickson (109) di Negeri Sembilan dan Batu Pahat (134) serta Tangkak (116) di Johor.

Dalam pada itu, beliau berkata, pencemaran parit di Kampung Bukit Bayan Bukit Katil yang didakwa berpunca daripada sisa buangan berbahaya telah dibersihkan sepenuhnya.

"Kita telah mengenal pasti pihak yang melakukan perbuatan itu dan sampel air yang diambil juga telah dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk tindakan lanjut," katanya.